IBUKU JUNAIDAH MEMBAWA PEGUAM KE JALAN AMPAS
Pada suatu hari di sebelah tengah hari, bapa pulang dari studio. Pada kali ini kepulangannya agak ganjil. Kebetulan nenek dan saya berada di Singapura. Bapa berdiam diri dan nampak air mukanya kelihatan muram. Memang ada sesuatu yang difikirkannya. Nenek terus bertanya kerana ingin tahu apakah yang menyebabkan ayah kelihatan runsing. Dengan tegas bapa menjawab,"Jun berada di studio bersama seorang peguam untuk mengambil Nasir," Nenek berdiam diri dan turut bersimpati dengan bapa. Pak Cik saya Sheikh Ali dan ibu tiri saya juga diam penuh simpati. Saya hanya menangis, kerana tidak mahu berpisah dengan ayah dan ibu tiri saya. Saya bertambah takut kerana saya tidak begitu mesra dan rapat dengan ibu kandung saya Junaidah. Keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana perpisahan antara ibu dan bapa terjadi semasa saya terlalu kecil dan langsung tidak berkesempatan mengenali ibu. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kalau saya dibawa ke Indonesia. Saya tidak mempunyai sesiapa di sana dan tentu sekali suasananya agak berlainan. Hati saya semakin sedih bercampur takut. Saya memeluk nenek saya, dan nenek cuba mententeramkan saya, sambil memeluk saya, sempat dia memujuk agar jangan takut dan jangan menangis, semuanya adalah takdir, katanya.
Ayah saya berdiri di hadapan ibunya dan berkata," Kalau ini semua adalah takdir, maka dengan rela hati Ram lepaskan Nasir, Ram tidak akan melawan takdir," Walaupun ketika itu saya masih kecil, tetapi saya masih ingat dan terbayang suasana sedih bercampur takut. Akhirnya saya dibawa oleh ayah ke Jalan Amoas. Dengan menaiki keretanya yang dipandunya sendiri, kami terus ke studio. Di dalam kereta bapa bertanya saya,"Kalau orang itu tanya, Nasir nak ikut Jun atau bapa, Nasir nak jawap apa?" Saya jawab,"Tak tahu, tapi saya tak mahu ikut Jun." Bapa tersenyum puas. Apabila kereta sampai di persimpangan Jalan Ampas di Balestier Road, bapa memberhentikan keretanya. Kami keluar dan bapa memimpin tangan saya membawa ke studio Jalan Ampas. Kata-kata bapa itu diulang berkali-kali sehingga sampai di sebuah kedai kopi berhadapan dengan studio No 8, (Mungkin kedai kopi Lam atau kedai kopi Siput saya tak ingat).
Setibanya di kedai itu, ayah terus masuk ke pintu studio. Saya ditinggalkan di kedai kopi itu. Dengan tidak disangka-sangka rupanya ibu saya Junaidah memang sudah menanti kedatangan saya. Dengan pantas dia memeluk dan terus menangis, sambil dia memperkenalkan dirinya dengan berkata, "Ini emak, emak kandung kau sendiri Junaidah. Emak sangat rindu pada kau," Hati saya tidak dapat menerima keadaan itu, kerana saya tidak pernah berpeluang, mengenali dan mendampinginya.
Saya lihat seorang berbangsa India ada bersama, dan saya diajukan soalan yang sama dengan apa yang ayah sebutkan sebelumnya. Saya tetap dengan jawapan yang saya berikan kepada ayah. Saya tidak mahu mengikut ibu. Setelah berkali-kali dipujuk ibu dan peguam India itu, saya tetap dengan pendirian saya. Akhirnya mereka gagal untuk mendapatkan persetujuan saya. Ramai yang menyaksikan kejadian itu.
Akhirnya saya meminta diri untuk pergi bertemu ayah di dalam studio. Ibu dan peguam serta beberapa orang di studio hanya memandang ke arah saya. Airmata ibu kelihatan berlinang dan dia tidak dapat menahan sebak hatinya. Saya dibawa oleh seorang Benggali penjaga studio menuju ke bilik ayah. Dia sedang menanti kedatangan saya. Bermula dari saat itulah, ibu saya Junaidah tidak lagi datang untuk bertemu atau mahu mengambil saya, dan saya berasa lega dapat hidup seperti biasa dan kembali ke Pulau Pinang. Tidak lama selepas itu, saya berpindah balik ke Singapura dan hidup bersama ayah dan ibu tiri saya. Saya sedikitpun tidak merasa kesal atau terkilan, kerana usia saya masih muda dan belum kenal erti hidup sebenarnya.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan