Selasa, 27 Ogos 2019

Bapaku P.Ramlee Bab 12 Perceraian Berlaku Di MacPherson Road

PERCERAIAN BERLAKU DI MACPHERSON ROAD

Noorizan berkahwin dengan bapa saya kerana cintanya yang tidak dapat disembunyikan, sementara bapa saya pula menerimanya kerana beliau sedang kehausan cinta, dan beranggapan perkahwinan ini akan berkekalan. Noorizan adalah bekas wanita yang terlatih dengan adat sopan keluarga diraja, mungkin kerana ini bapa saya menganggap yang Noorizan adalah wanita yang akan setia kepadanya untuk selama-lamanya.

Kami berpindah dari Yarrow Garden Siglap, ke rumah yang baru di MacPherson Road. Di rumah ini, bapa saya semakin terasa yang dirinya seolah-olah terkongkong. Noorizan bertindak di luar keselesaan bapa saya. Mungkin niatnya baik untuk menjaga "status" bapa saya sebagai seorang seniman agung hingga dia lupa yang seniman juga perlukan kebebasan. Seniman perlu idea yang bebas dan seniman juga tidak boleh dikongkong hingga merosakkan daya pemikiran.

Jodoh dan maut adalah di tangan Tuhan, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Begitulah apa yang berlaku di antara bapa saya dan Noorizan. Keretakan rumah tangga bapa saya sedikit demi sedikit menjadi bertambah besar sejak dia pulang dari satu festival filem yang berlangsung di luar negeri. Suasana dan keadaan rumah kami sudah tidak terurus, berbagai-bagai tuduhan berlaku. Kami anak-anak tidak turut campur, dan saya dapat melihat bagaimana bapa saya mula tidur bersendirian, kadang-kadang di bawah dan kadang-kadang di atas. Mereka tidak bercakap semesra dahulu. Harapan bapa saya akhirnya hancur berkecai setelah berlaku perkara-perkara yang di luar dugaan. Bapa saya masih bertenang dan menjalankan tugas hariannya dengan tersenyum walaupun jiwanya menangis.   

Saya pernah mendengar kononnya Noorizan cemburukan P.Ramlee dengan Saloma kerana Saloma sering berganding suara dengan bapa saya ketika rakaman. Saya tidak tahu setakat mana kebenarannya atau adakah ia sengaja diaada-adakan. Saya dapat mengagak, mungkin bapa saya menanti kata-kata akhir dari Noorizan, "Ceraikanlah I". Saat itu akhirnya berlaku juga apabila Noorizan melafazkan kata-kata itu di hadapan bapa saya, dan bapa saya terus mengambil keputusan menceraikan Noorizan dengan rela hati. Walaupun sudah bercerai, namun mereka masih bercakap menerusi telefon, malah setelah kami berpindah ke Kuala Lumpur, bapa sanggup memberi peranan kepada Noorizan berlakon sebagai permaisuri Pasir Berdengong di dalam filem Laksamana Do Re Mi, arahannya yang terakhir sebelum dia meninggal dunia. Itu juga mungkin merupakan satu pertemuan yang terakhir di antara mereka.

Rumah di MacPherson Road itu telah menjadi agak tidak tenteram, dan tidak terurus seperti dahulu. Saya juga kini agak bebas dan tidak lagi perlu membuat kerja seperti dahulu. Apa sahaja yang saya pinta dari bapa, saya akan dapat, lebih-lebih lagi wang saku sekolah. Pembantu kami Abang Ngah masih bertugas sepenuhnya, dan bapa saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menguruskan rumah dan anak-anak.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Tiada ulasan:

Catat Ulasan