Selasa, 13 Disember 2016

Sinopsis Dan Pengajaran Filem Nasib Si Labu Labi


MALAY FILM PRODUCTION LTD.
Menghidangkan MOHAMAD ZAIN P.RAMLEE A.M.N NASIB SI LABU LABI
UDO OMAR MARIANI IBRAHIM PENDEK S.SHAMSUDDIN MURNI SARAWAK HABSAH BUANG S.SUDARMAJI ASMAON MOHD.HAMID JAMALUDDIN SARBAN SINGH HASSIM SALLEH MUNSIE SALLEH
Biintang Undangan SALOMA SARIMAH ROSNANI DAYANG SOFIA AZIZ SATTAR AHMAD MAHMOOD OMAR ROJIK AHMAD NISFU
Cerita MAJI LEE
Jalan Cerita MAJI LEE
Jalan Bahasa P.RAMLEE A.M.N
Lagu-Lagu Dikarang Disusun dan Dipimpin Oleh P.RAMLEE
Tarian HABSAH BUANG
Fashion Kebaya RAJA ZAII DRESS MAKER
Senikata Lagu S.SUDARMAJI
Teknik Fotografi CHOU CHAN KOK
Art Director A.V.BAPAT
Editor H.R.NARAYANA
Rekaman Suara YAP POH KAI
Rekaman Akhir KAM SIM BOON
Pencetak Filem WONG HONG PENG
Studio Manager KWEK CHIP JIAN
Pembantu Teraju S.SUDARMAJI RAHMAN JAIS
Rekaman CHUA SOH THONG
Rekaman YEO KEE JOK
Editing HAYAT HARRIS P.HARIDAS LEE THIAM YIAK K.K.RAM
Continuity TAN QUEE SIM
Penerbitan SHAW VEE MENG
Teraju Utama P.RAMLEE A.M.N

Tahun Diedarkan: 1963 (April)
Masa Tayangan: 1 Jam 55 Minit

RINGKASAN CERITA

Isteri Haji Bakhil meninggal dunia, Manisah, Haji Bakhil, Labu dan Labi semuanya berdukacita. Haji Bakhil tidak lalu makan kerana asyik mengenangkan isterinya. Begitu juga dengan Manisah. Tetapi bagi Labu dan Labi walaupun bersedih pasal makan mereka tidak menolak. Segala habuan Haji Bakhil habis mereka sapu hinggakan dia kelaparan. Selepas 40 hari isterinya meninggal dunia, Haji Bakhil sakit kerana dia tinggal keseorangan. Manisah pula susah nak tidur. Sementara itu, Labu dan Labi terus bergaduh kerana merebutkan Manisah hingga sampai ke suatu peringkat mereka terpaksa beradu kekuatan (boksing) di gelanggang kelab boxsing. Labu menggunakan nama Rocky Labu manakala Labi pula pakai nama Joe Labi. Sesiapa saja yang menang dalam pertarungan boksing itu, dialah yang layak memiliki Manisah.

Pertarungan antara Rocky Labu dan Joe Labi melarat sampai ke pusingan yang ke - 127 yang mana akhirnya bukan sahaja Rocky Labu dan Joe Labi yang K.0. tetapi juga pengadilnya. Selepas 100 hari pemergian isteri Haji Bakhil, Haji Bakhil mula bertukar kulit, lagaknya macam orang muda dia tak mahu pakai serban. Di pejabat Haji Bakhil & Co.Ltd, Haji Bakhil telah didatangi Cikgu Murni (guru sekolah anak-anak yatim) untuk membeli kain putih untuk kegunaan anak-anak yatim. Oleh kerana Cikgu Murni punya pasal dan sebab kesanggupan memberi gambar, Haji Bakhil menghadiahkan Cikgu Murni dengan 10 kayu kain putih. Dalam pada itu, Persatuan Anak-Anak Yatim masih kekurangan wang tabung dan keputusan telah dibuat dalam mesyuarat iaitu memunggut derma dari rumah ke rumah.

Dalam pada itu, Haji Bakhil terlalu rindukan Cikgu Murni dan sering memuja gambarnya. Kerana kebakhilannya Haji Bakhil hanya sanggup memberi seringgit sahaja kepada dua orang guru yang datang ke rumahnya untuk memunggut derma bagi Persatuan Anak-Anak Yatim, tetapi apabila Cikgu Murni yang datang menemuinya Haji Bakhil sanggup berhabisan hingga 1000 ringgit. Setelah serban sudah tak dipakai lagi dan setelah bertemu dengan Cikgu Murni, Haji Bakhil bertukar corak sama sekali. Dia memakai seluar pendek, bercermin mata hitam dan sanggup pula menukar kereta baru yang mana semuanya itu membuatkan Manisah curiga.

Sewaktu berkelah di pantai secara kebetulan pula Haji Bakhil bertemu dengan Cikgu Murni yang sedang membawa anak-anak yatim berkelah. Haji Bakhil kemudian diperkenalkan dengan Guru Besar, Cikgu Habsah. Dan dalam pertemuan di pantai itu, barulah Haji Bakhil tahu yang Cikgu Murni itu seorang janda beranak satu yang sangat melegakannya. Haji Bakhil kemudian telah diundang ke majlis perjumpaan Persatuan Anak-Anak Yatim dan kerana jasanya selama ini dia telah dihadiahkan dengan sekalung bunga dan dikalungkan pula oleh Cikgu Murni disamping diiringi dengan nyanyian lagu Allah Selamatkan Tuan Haji Bakhil begitu juga Cikgu Murni yang telah banyak membuat jasa terhadap kemajuan persatuan amal itu.

Di Malam Anekaragam, tidak disangka-sangka oleh Haji Bakhil turut diundang menjayakan malam tersebut ialah Labu dan Labi yang mana mereka telah mempersembahkan lagu dan tarian Aci-Aci Buka Pintu. Dalam peraduan Ratu Kebaya Cikgu Murni telah menang dan orang yang mengalungkan selepang ratu ialah Haji Bakhil dan dia jatuh pengsan apabila Cikgu Murni memintanya masuk meminang. Haji Bakhil mewakilkan Labu dan Labi pergi meminang Cikgu Murni dan dengan itu mereka terpaksa pergi bertemu dengan Pak Haji Kemetot. Bagaimanapun, Pak Haji Kemetot tidak bersetuju dengan peminangan tersebut. Labu dan Labi lari lintang pukang apabila dikejar oleh Pak Haji Kemetot dengan penyapu kontot.

Oleh kerana terpengaruh dengan tipu helah Labu dan Labi mengenai pergi meminang kali kedua, Haji Bakhil menyuruh mereka melarikan Cikgu Murni terus dibawa ke rumah Tok Kadi untuk dinikahkan dengannya. Di rumah Pak Haji Kemetot, Pak Haji Kemetot rasa tak sedap hati, berdebak gedebuk sedang tidur dan kerana kepanasan dia menyuruh Cikgu Murni tidur di biliknya manakala dia tidur di bilik Cikgu Murni.

Ketika Pak Haji Kemetot dan Cikgu Murni sedang tidur lena, Labu dan Labi datang lalu menculik Pak Haji Kemetot (pada sangkaan mereka Cikgu Murni) yang mana apabila sampai di rumah Tok Kadi keadaan menjadi kelam kabut apabila dibuka kain bungkusan yang muncul ialah Pak Haji Kemetot bukannya Cikgu Murni. Berikutan dengan itu, Haji Bakhil, Labu dan Labi telah didakwa di mahkamah. Mereka didapati bersalah dan didenda 500 ringgit setiap seorang atau dipenjara tiga bulan. Haji Bakhil membayar dendanya tetapi enggan membayar denda untuk Labu dan Labi. Oleh yang demikian terpaksalah Labu dan Labi merengkok dalam penjara.

PENGAJARAN

Nasib Si Labu Labi (1963) merupakan sekuel filem Labu Dan Labi. Filem ini masih berkisar kepada soal kehidupan di rumah Haji Bakhil dengan dua orang gajinya, Labu dan Labi serta anak perempuannya, Manisah. Filem ini dibuka denan babak sedih, di mana keluarga Haji Bakhil berdepan saat sukar apabila isteri Haji Bakhil meninggal dunia. Ini merupakan filem pertama P.Ramlee yang dibuka dengan babak kematian dan kelihatan jenazah yang telah siap dikafankan. Filem ini masih mengekalkan elemen slapstik seperti di dalam Labu Dan Labi. Banyak babak yang menggunakan dialog gurauan kasar seperti perkataan bodoh, bahlol dan tolol.

Kita dapat melihat bagaimana Labu Dan Labi masih setia bersama-sama dengan Haji Bakhil, walaupun mereka setiap hari dimarahi dan ditindas oleh Haji Bakhil. Kita melihat juga Labu Dan Labi begitu selesa hidup di bawah Haji Bakhil sehinggakan mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk tuan mereka. Selesa dengan penindasan yang dialami merupakan pengalaman ajaib Labu Dan Labi. Langsung tidak terbit sebarang rasa untuk bangkit dan melawan.

Namun begitu, di sebalik sikap lemah dan hanya menerima penindasan yang dilakukan, Labu dan Labi tetap menyimpan rasa tidak senang terhadap tuan mereka. Misalnya kita dapat lihat bagaimana Labu dan Labi berpura-pura sedih dengan kematian isteri Haji Bakhil, sedangkan sebenarnya mereka langsung tidak sedih dan hanya melayan perasaan Haji Bakhil dan anak perempuannya, Manisah.Ini dapat dilihat semasa babak makan malam.

"Bagus juga Mak Encik mati ya Labu, kita hari-hari makan ayam."

Daripada keadaan ini kita dapat melihat yang Labu dan Labi langsung tidak memiliki hubungan secara peribadi dengan Haji Bakhil. Hubungan mereka hanya terhad sekadar pekerja dan majikan sahaja. Mereka tidak memperdulikan pun tentang sebarang nasib yang menimpa Haji Bakhil dan keluarga, yang penting mereka hidup seperti biasa dan dapat menikmati makanan yang sedap-sedap. Kedaan ini sama seperti apa yang dilakukan oleh Haji Bakhil terhadap mereka. Situasi menang-menang di antara kedua-duanya. Ketidakpedulian Labu dan Labi terhadap Haji Bakhil dapat dilihat semasa babak Haji Bakhil berpura-pura sakit.

"Nasib baik Cik lekas datang, kalau tidak gol-lah Pak Haji saya ini!"

"Kau minta aku mati?"

"Tidak! Tidak! Tidak! Kami berdoa biar Encik panjang umur, Kalau encik nak mati, Alhamdullilah!"

Sikap Labu dan Labi ketika meminang Ciku Murni untuk Haji Bakhil juga dilihat sebagai satu cubaan mensabotaj Haji Bakhil apabila tindakan mereka-reka cerita yang tidak ada itu melihatkan sikap Labu dan Labi yang tidak ambil peduli pun tentang Haji Bakhil dan tidak kisah tentang apa yang bakal terjadi terhadap majikan mereka itu. Malahan mereka sebenarnya mengambil peluang memaki hamun Haji Bakhil, tanpa disedari oleh Haji Bakhil sendiri.

"Bagaimana tentang peminangan? Berhasilkah tidak?"

"Rosak Encik! Rosak program kita!"

"Rosak? Apa yang rosak?!"

"Adakah patut, bapa dia bilang muka Encik macam Beruk Mat Ye! Kononnya nak kahwin perempuan yang paling cantik dalam kampung ni! Tua kutuk! Tua tak sedar diri! Bapa dia taram dengan Encik, kalau dapat Encik dia nak lanyak-lanyakkan!"

"Lanyak?! Betulkah katanya Labi?"

"Ya Encik! Mula-mula dia kata macam itu."

"Mula-mula? Alamak! Mula-mula! Kau lihat ini, aku mesti pukul kepala dia dengan marton! Kalau tidak jangan dipanggil aku Haji Bakhil!"

"Encik! Encik! Encik! Encik! Tapi Cikgu Murni terus bergaduh dengan bapa dia Encik, dia katakan bapa sampai hati bapa kata pada Haji Bakhil kekasih saya, saya cinta pada Haji Bakhil. Bila saya makan teringat Haji Bakhil, bila saya minum teringat Haji Bakhil, bila malam saya nak tidur, saya tepuk-tepukkan bantalnya panggil Haji Bakhil, Haji Bakhil, Haji Bakhil. Kalau boleh dia nak mati dengan Pak Haji Bakhil."

"Aku dah tahu tu, memang mesti Cikgu Murni berkata begitu. Labu, apa kata bapanya lagi?"

"Seterusnya Encik, dia tangkap Si Murni, dia ikat, dia ikat, dia pukul-pukul sampai keluar darah Encik!"

"Dia pukul?! Celaka punya bapa mertua! Kau pukul kekasih aku! Apa kata bapanya lagi?"

"Saya tak sampai hati nak dengar encik, semua ini Labi tahu!"

"Apa katanya Labi?"

"Cakaplah apa yan dia cakap!

"Terus Cikgu Murni panggil, abang Labu, abang Labi, tolong kasi tahu sama Haji Bakhil lepaskan saya! Kalau saya dah terlepas, malam ini juga saya nak kahwin dengan Pak Haji Bakhil dan saya tunggu di rumah tuan kadi!"

Perkara sama juga dilakukan oleh Haji Bakhil yang tidak memperdulikan nasib Labu dan Labi apabila tidak mahu membayar denda untuk kedua-dua mereka dan hanya melepaskan dirinya sahaja. Akibatnya Labu dan Labi dijatuhi hukuman penjara tiga bulan. Hukuman berkenaan dikenakan terhadap mereka kerana menculik Cikgu Murni untuk dikahwinkan dengan Haji Bakhil. Namun, sebaliknya terjadi apabila Labu dan Labi tersalah culik bapa Cikgu Murni.

"Kamu bertiga didapati salah dan dikenakan denda 500 ringgit tiap-tiap seorang atau penjara tiga bulan. Bagaimana Tuan Haji Bakhil bin Lebai Kedekut?"

"Tak apa saya mesti bayar tuan!"

"Bagus, Labi bin Kundur dan Labi bin Kura-Kura?"

"Dia bayar tuan."

"Kenapa pula aku nak bayar?"

"Kalau tak bayar kami pergi jail!"

"Aku tak mahu bayar!"

"Siapa nak jaga anak Encik?"

"Biar mati kering anak aku!"

"Jangan main-main Encik, bayar Encik!"

"Aku tak mahu bayar!"

"Ini jail ni Encik!"

"Padan muka kau, Setan!"

Soal ketidakpedulian majikan terhadap nasib pekerja ini dilihat seperti sindiran P.Ramlee yang semakin kuat terhadap Shaw Brothers yang ketika itu berdepan tekanan kuat daripada pekerja filem di Studio Malay Film Production. P.Ramlee jelas menunjukkan sikapnya terhadap majikan yang menindas dan langsung tidak membantu pekerja yang berada di dalam kesusahan, mahupun tenaga pekerja berkenaan dikerah sehabis mungkin. Ada yang berpandangan P.Ramlee ini memiliki gaya pemikiran seorang sosialis, namun sebenarnya pandangan P.Ramlee terhadap sosialis bukanlah dari sudut idealisme, tetapi hanya terhad kepada isu-isu yang berlaku di sekelilingnya. P.Ramlee bukanlah seniman yang memiliki pemikiran falsafah tulen seperti seorang ahli sosialis sejati, tetapi P.Ramlee mampu memaparkan masalah pekerja dan peniindasan terhadap pekerja oleh kelompok feudal dan golongan atasan dalam hampir setiap karya-karyanya.

Pergaduhan Labu dan Labi berebutkan Manisah ialah pergaduhan yang sia-sia. Kita dapat melihat bagaimana P.Ramlee menonjolkan elemen sia-sia itu di dalam babak memijak kepala bapa dan tinju di antara Labu dan Labi. Semasa kita menonton filem ini pada awalnya, kita akan menyangkakan bahawa flem ini akan berkisar kepada pergaduhan Labu dan Labi berebut Mansah untuk dijadikan isteri. Ini kerana kita dapat melhat bagaimana Labu mencabar Labi untuk bergaduh secara halus-halusan dan mereka membuat keputusan untuk bertinju di gelanggang dengan pengadilnya ialah S.Shamsuddin. Dua perkara yang dimaksudkan dengan sia-sia di sini, pertama ialah amat mustahil untuk Labu dan Labi menjadikan Manisah sebagai isteri dan angan-angan mereka alah angan-angan yang sia-sia, keduanya aksi tinju mereka sehingga 127 pusingan tidak mendatangkan apa-apa hasiil dan hanya satu perbuatan sia-sia kerana tiada siapa yang menang dalam pergaduhan itu.

Lebih sia-sia lagi selepas babak itu, Labu dan Labi tidak lagi menunjukkan minat untuk berebutkan Manisah dan kisah Labu dan Labi berebut Manisah terus ditamatkan oleh P.Ramlee. Inilah salah satu kelebihan P.Ramlee untuk menunjukkan satu angan-angan yang sia-sia, P.Ramlee menjadikan babak berkenaan sebagai sebuah babak yang sia-sia.

Selepas babak bertinju itu, kita terus dimulakan dengan pembaharuan Haji Bakhil dan kisah mengenai Haji Bakhil pun bermula. Nasib Si Labu Labi ini bukan lagi menjadikan Labu dan Labi sebagai fokus utama, sebaliknya Haji Bakhil dijadikan sebagai subjek penting yang menggerakkan filem ini. Namun begitu, babak bertinju berkenaan tetap dikenang sebagai salah satu daripada babak-babak slapstik yang menarik di dalam kebanyakan filem-filem Melayu.

Haji Bakhil selepas 100 hari kematian isterinya, bukan lagi Haji Bakhil yang biasa kita kenali. Haji Bakhil kali ini sudah lupa cara mengikat serban dan tidak lagi mengenakan serban setiap kali mahu ke pejabat atau keluar dari rumah. Sikap Haji Bakhil meninggalkan serban ini adalah selari dengan sikapnya yang berubah menjad miang dan cuba memikat hati Cikgu Murni. Serban ialah lambang manusia suc yang beragama, meninggalkan serban melibatkan Haji Bakhil berubah menjadi manusia yang begitu teruja dengan perempuan cantik sehingga sanggup melakukan apa sahaja perkara yang kadangkala dilihat tidak masuk akal, termasuk sanggup menculik Cikgu Murni, walaupun perancangan berkenaan tidak menjadi. Haji Bakhil tidak berserban juga beriya-iya menjadi seorang pemurah dan banyak menderma, walaupun hakikatnya Haji Bakhil bukanlah seorang manusia yang bermurah hati. Ternyata sikapnya untuk menderma itu hanya untuk memikat hati Cikgu Murni semata-mata.

Walaupun filem ini ditayangkan pada tahun 1963, namun berdasarkan kepada tarikh yang muncul di dalam filem ini, misalnya tarikh Malam Aneka Ragam pada 24 Disember 1962, dapat ditakrifkan bahawa latar filem ini ialah pada tahun 1962, sebelum Singapura bersama-sama Sabah dan Sarawak bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963.


Apa yang lebih menarik P.Ramlee turut menyentuh mengenai pembentukan Malaysia di dalam filem ini. Jika diperhatikan pada babak semasa Cikgu Murni datang ke kedai Haji Bakhil, di seberang jalan terdapat Hotel Malaysia. Ini memberikan gambaran bahawa Malaysia itu terletak di seberang Singapura dan menantikan detik paling sesuai untuk Singapura bersatu bersama-sama Malaysia. Filem Nasib Si Labu Labi ini dihasilkan di Singapura dan semua pelakon yang berada di dalam kedai Haji Bakhil yang terletak berseberangan dengan Hotel Malaysia ini juga ialah warga yang menetap di Singapura. Haji Bakhil turut menyebut berkenaan hotel berkenaan di dalam filem ini.

"Kamu dah makan semua?"

"Belum Encik."

"Ahmad, kau pergi di hotel depan tu, kau order tiga mangkuk kopi, telur separuh masak, dua biji tiap-tiap seorang."

"Terima kasih Encik."

"Encik Haji Bakhil belanja pagi ini tau!"

Filem ini juga menjadi filem yang menyaksikan kemunculan isimewa (cameo) paling ramai bintang-bintang di Malay Film Production. Di antara yang ada ialah S.Shamsuddin, Aziz Sattar, Dayang Sofea, Ahmad Mahmud, Rosnani, Omar Rojik, Sarimah dan Ahmad Nisfu.


ULASAN & KRITIKAN

Sungguhpun "Labu Dan Labi" memperlihatkan kemerosotan P.Ramlee dalam pengarahan filem tetapi filem yang menggunakan watak Labu dan Labi ini dan merupakan sambungan dar filem pertamanya itu, lebih baik dan lebih sempurna. Ceritanya sudah pijak ke bumi nyata tidak seperti "Labu Dan Labi" yang berada di alam khayalan. Ceritanya agak menarik dan para pelakonnya telah membawa peranan masing-masing dengan baik dan memuaskan. Murni Sarawak (anak Siput Sarawak) yang diambil berlakon dalam filem ini buat pertama kalinya oleh P.Ramlee telah membawa peranannya sebagai Cikgu Murni tidak mengecewakan.

Pada keseluruhannya filem ini tidaklah seburuk "Labu Dan Labi" dan tetap menghibur dan menyeronokkan

IRAMA & LAGU

Hanya 4 lagu sahaja terdapat dalam filem ini:

  1. Barang Yang Lepas Jangan Dikenang (P.Ramlee)
  2. Aci-Aci Buka Pintu (P.Ramlee & Saloma)
  3. Sayu Pilu Kalbu Merana (Saloma)
  4. Tarian Silat Melayu (Saloma)
          Ciptaan & Gubahan: P.Ramlee
          Lirik: S.Sudarmaji
  • Aci-Aci Buka Pintu yang terdapat dalam filem ini, iramanya turut digunakan oleh P.Ramlee dalam "Ali Baba Bujang Lapok" ketika 40 Penyamun sedang bersukaria dalam gua.


FAKTA & ANGKA


  • Inilah siri kedua dan terakhir Labu dan Labi setelah "Labu dan Labi" yang diarahkan oleh P.Ramlee.
  • Filem pertama P.Ramlee menggunakan A.M.N. di hujung namanya.
  • Filem pertama dan terakhir Murni Sarawak berlakon dalam filem arahan P.Ramlee. Sebelum ini Murni Sarawak membintangi filem "Norlela" bersama Aziz Jaafar dan Sarimah yang diarahkan Dhiresh Ghosh.
  • Murni Sarawak (anak Siput Sarawak) boleh dikatakan heroine filem ini tetapi P.Ramlee tidak boleh dikatakan hero. Oleh yang demikian ia tidak boleh disamakan dengan Neng Yatimah dan Rose Yatimah di mana P.Ramlee menjadi hero kepada dua anak beranak. 
  • Perlawanan boksing (boxing) ditirunya dari filem Charlie Chaplin - "City Light". Bagaimanapun, ia tidak seteruk filem ini hingga menyebabkan pertarungan antara Rocky Labu dan Joe Labi sampai ke pusingan yang ke-127 manakala Eddie Baker sebagai pengadil (refree) tidaklah seteruk S.Shamsuddin sebagai pengadil yang terpaksa tumbang bersama Rocky Labu dan Joe Labi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan