Selasa, 15 November 2016

Sinopsis Dan Pengajaran Filem Labu Labi

(SB) MALAY FILM PRODUCTION LTD.
Mempersembahkan MOHD.ZAIN DAN P.RAMLEE Sebagai LABU DAN LABI
Bintang Utama MARIANI UDO OMAR RAHMAH ALIAS
Bintang Pembantu SHARIFF DOL NYONG ISMAIL BABJAN SUPA'AT
Pelakon Undangan SALOMA SARIMAH AZIZ SATTAR ORKEST PANCHA SITARA ORKEST PUSPA RAYA
Cerita Asli S.KANDARISMAN
Screen Play S.SUDARMAJI
Dialog P.RAMLEE
Lagu-Lagu Ciptaan Dan Gubahan P.RAMLEE
Senikata S.SUDARMAJI
Orkestra P.RAMLEE ORKESTRA
Teknik Fotografi ABU BAKAR ALI
Director A.V.BAPAT
Rakaman Suara MUSTAFFA KAMAL
Rakaman Akhir KAM SIM BOON
Editor H.R.NARAYANA
Laboratory CHOU CHAN KOK
Processing WONG HONG PENG
Studio Manager KWEK CHIP JIAN
Pembantu-Pembantu Teraju S.SUDARMAJI
Fotografi YA'ACOB MAHMOOD
Suara YEO KEE JOK
Editing LEE THIAM YIAK K.K.RAM P.HARIDAS KASSIM MASDOR
Dikeluarkan Oleh VEE MENG SHAW
Teraju Utama P.RAMLEE A.M.N


Tahun Diedarkan: 1962 (Ogos)
Masa Tayangan: 1 Jam 40 Minit

RINGKASAN CERITA

Haji Bakhil adalah orang kaya yang mempunya rumah besar, kereta cantik, seorang isteri, seorang anak perempuan yang jelita serta dua orang gaji - Labu dan Labi. Walaupun teruk bekerja dan selalu kena marah dan dimaki hamun oleh Haji Bakhil namun Labu dan Labi tetap mahu bekerja d situ kerana mereka terpikat dengan anak perempuan Haji Bakhil - Manisah. Labu bekerja sebagai tukang masak dan kerja-kerja lain. Bagi Manisah, dia terpaksa bekerja sebagai tukang jahit disebabkan Haji Bakhil begitu kedekut. Duit lima sen macam roda kereta lembu. Walaupun Labu dan Labi tergila-gilakan Manisah tetapi gadis tersebut tidak ada hati terhadap mereka.

Perebutan antara Labu dan Labi terhadap Manisah berterusan yang mana ada ketikanya mereka bermusuhan dsebabkan cemburu. Sebagai orang gaji Labu dan Labi pada kebiasaannya tidur di serambi rumah dan sudah menjadi kebiasaan pula sebelum tidur mereka berangan-angan. Kali ini dalam khayalan mereka, Labi menjadi majestrik dan bertemu dengan Dr.Labu di restoran. Mereka berlagak dan cakap pun pelat Inggeris. Semasa memesan minuman mereka terperanjat kerana pelayan yang datang ialah Haji Bakhil - majikan mereka. Dr.Labu sudah terpikat dengan Sarimah yang telah memperagakan fesyen pakaian di restoran tersebut dan telah pergi bertemu dengannya di bilik. Kemudian datang pula majestrik Labu untuk bertemu dengan Sarimah bagi menyatakan perasaan hatinya. Dalam mereka merebut-rebutkan Sarimah itu, Labu dan Labi kembali ke alam nyata. Mereka bergaduh dan ini membuat Haji Bakhil nak angin dan memarahi mereka.

Labu dan Labi tidak serik-serik. Selepas itu mereka berkhayal lagi dan kali ini, Labu kata jadi orang kaya tidak berguna dia lebih suka tinggal dalam hutan. Tambahnya, dalam hutan hidup bebas boleh makan apa sahaja, boleh berkawan dengan binatang seperti monyet dan menjadi Tarzan. Dalam angan-angan mereka, Labu jadi Tarzan dan Haji Bakhil jadi monyet. Labu jadi Tarzan Malaya pakai keris. Tarzan 'fed-up' makan buah-buahan dan dia menyuruh monyetnya masak nasi dan buat sambal belacan. Labi pula jadi Harimau dan dia mahu makan Tarzan dan dengan itu terjadi pergaduhan. Pada realitinya, Labu dan Labi bergaduh sekali lagi yang mana menyebabkan Haji Bakhil marah dan mahu 'dilesengnya'. Jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah malan, tetapi mata Labu dan Labi tidak juga mahu tidur dan pada kali ini terkeluar cerita dari Labi yang dia jadi koboi (gembala kuda) dan Labu pula jadi sheriff (penjaga keamanan). Dalam khayalan, mereka berada di sebuah 'saloon' di mana Labi menjadi koboi meminta air susu daripada pelayan bar (Haji Bakhil) dan kemudian Labu datang sebagai sheriff untuk menangkap Labi yang telah melakukan pembunuhan.

Labi menentang dan terjadilah tembak menembak yang mana di alam nyata mereka bertembak-tembak menggunakan tangan dan jari macam budak-budak. Sekali lagi Haji Bakhil mengamuk. Akhirnya Labu dan Labi tertidur. Dalam tidurnya Labu bermimpi menjadi kaya raya apabila mendapat harta rompakan yang tersembunyi dalam tempat rahsia di bawah tanah di dalam hutan. Dengan harta rompakan yang dicurinya Labu mewujudkan syarikat perniagaan yang diberi nama Haji Labu & Co Ltd. dan Labu kemudian menyuruh pembantunya pergi meminang anak gadis Haji Bakhil Bin Kedekut -  Manisah.

Bila Haji Bakhil mendapat tahu yang datang meminang itu ialah untuk Labu, dia menolak. Dengan penolakan tersebut menyebabkan Labu marah lantas pergi menemui dukun untuk mengilmukan Manisah dengan mengasap dan menggantung gambar Manisah yang mana ini menjadikan Manisah pengsan. Dalam pada itu, Labi pergi ke gua bertemu dengan seorang pendita dan dia diberikan sebutir geliga hikmat yang banyak khasiatnya. Sementara itu, penyakit Manisah tidak juga sembuh-sembuh walaupun ramai dukun dan doktor datang mengubatinya. Tetapi dengan menggunakan geliga hikmat Labi berjaya menyembuhkan Manisah.

Kerana berhasrat menyembuhkan penyakit Manisah, Haji Bakhil pun mengahwinkan Manisah dengan Labi, tetapi Labu menghantar surat terbang menyatakan hasratnya untuk merampas Manisah darpada Labi. Dengan itu, Labi dan orang-orangnya membuat kawalan ketat dengan Labi menggunakan kapak, Haji Bakhil dengan senapang dan Labu pula menggunakan pengetuk. Labu menggunakan pengetuk tetapi da gagal digunakan kepada Labi dan Manisah disebabkan Labi ada batu geliga hikmat. Pertarungan berlaku antara Labu dan Labi dan sekali lagi pada realitinya mereka bergaduh di serambi hingga habis jahanam bantal-bantal yang mana pada kali ini Haji Bakhil menyiram air kepada mereka. Kemudian barulah mereka sedar yang perstiwa tadi sebenarnya adalah mimpi Labu.

PENGAJARAN

Labu dan Labi sebuah lagi filem komedi arahan P.Ramlee dan kali ini M.Zain diberikan peranan lebih besar berbanding filem-filem P.Ramlee sebelum ini. Filem ini boleh dianggap sebagai sebuah filem yan tidak terlalu istimewa dan bergerak dalam kerangka komedi slapstik. Dialog di dalam filem ini kadangkala dilihat agak kasar seperti pengunaan perkataan 'setan' 'bodoh' dan 'bahalol' berulang kali. Kadangkala kita merasakan P.Ramlee berusaha terlalu gigih untuk membikin komedi dengan perkataan-perkataan ini. Mungkin jika digunakan tidak terlalu kerap, komedi dengan perkataan-perkataan ini akan menjadi lebih baik, namun disebabkan kekerapan penggunaannya yang terlalu tinggi, maka komedi kadangkala menjadi satu perkara yang mendatangkan rasa meluat.

Filem ini dilihat meneroka tiga tema penting, pertama seperti biasa soal penindasan golongan feudal terhadap golonan pekerja serta sikap golongan feudal secara umum, keduanya ialah eskapisme yang cuba dirasai oleh pekerja yang ditindas dan ketiga ialah ruang mimpi yangg dijelajahi tanpa sempadan dan garis penamat. Mimpi di dalam Labu dan Labi ialah mimpi tanpa batasan. P.Ramlee di dalam filem ini seolah-olah menegaskan mimpi ialah hak mutlak individu dan tiada sesiapa berhak menghalang seseorang itu daripada bermimpi dan memasang angan-angan. Terdapat beberapa ketika soal mimpi ini boleh dikaitkan dengan kisah dahulu kala, Angan-Angan Mat Jenin. Satu bentuk angan-angan atau mimpi yang tidak ke mana-mana malahan boleh mendatangan mudarat. Begitu jua apa yang terjadi kepada Labu dan Labi, angan-angan dan mimpi mereka tidak membawa mereka ke mana-mana, mereka masih di situ, ditindas dan terus menjadi hamba kepada Haji Bakhil yang sememangnya bakhil.

Penerokaan mimpi merupakan satu tema yang jarang dilihat dengan baik oleh kebanyaan pembikin filem pada waktu itu, Namun disebabkan tema mimpi di dalam Labu dan Labi ini bergerak tanpa kawalan jalan ceritanya menjadi longgar dan seperti tidak ada punca. Terdapat babak-babak yang dilihat tidak perlu dilanjutkan untuk tempoh yang lama, misalnya babak pertunjukan peragaan fesyen. Peragawati yan terlibat memperagakan pakaian berbeza sebanyak dua kali dan babak ini sebenarnya sedikit bosan. Namun, kita faham babak ini cuba menonjolkan soal komposisi kaum dengan menunjukkan ada Melayu, Cina dan India dan lain-lain dalam satu pentas dan boleh bersatu. Namun ini hanya sebuah babak longgar yang tidak memiliki signifikan yang jelas.

Kita melihat di dalam Labu dan Labi, kedua-dua pekerja kepada Haji Bakhil yang sering ditengking dan dimaki dengan kata-kata yang tidak enak, namun kedua-dua mereka masih bertahan dan tidak melakukan apa-apa dan reaksi mereka ini jelas kerana masing-masing mahu terus kekal di rumah Haji Bakhil demi menejar impian memperisterikan Manisah, anak perempuan Haji Bakhil yang jelita. Angan-angan dan tarikan terhadap perkara yang mustahil ini wujud dalam diri Labu dan Labi sebelum mereka bermimpi lagi. Mereka sanggup menjadi hamba terus-terusan demi Manisah, walaupun pada hakikatnya hasrat mereka itu ialah hasrat yang kosong dan tidak akan membawa apa-apa makna.

Beberapa babak di dalam filem ini menyaksikan bagaimana layanan tidak baik yang diterima oleh Labu dan Labi daripada Haji Bakhil, selain daripada dimaki-hamun mereka juga hanya berdiri tegak dan menyaksikan Haji Bakhil sekeluarga menikmati makan malam, mereka juga hanya memiliki pakaian yan hampir sama yakni baju warna putih. Seterusnya, mereka juga tidak disediakan bilik khas dan hanya dibenarkan tidur di kawasan beranda rumah. Ini ialah satu bentuk layanan tidak adil kepada pekerja. Namun, kebodohan pekerja yang tidak melawan juga ditonjolkan oleh P.Ramlee. Labu dan Labi tidak melawan, tidak melancarkan apa-apa gerakan untuk memberi peringatan kepada Haji Bakhil. Mereka menerima seadanya dan rela dimaki dan dijadikan hamba setiap hari. Kita tidak akan memahami perasaan mereka, walaupun sebenarnya kita dapat mengetahui yang mereka sebenarnya dalam keadaan tertindas.

Perasaan tertindas tu dijelmakan dengan mimpi-mimpi berbentu eskapisme di mana Labu dan Labi membalas dendam terhadap Haji Bakhil di dalam setiap mimpi mereka. Kedua-dua mereka munkin tidak dapat meluahkan rasa geram terhadap layanan Haji Bakhil, justeru mereka menggunakan mimpi sebagai jalan keluar kepada penindasan yang sedang mereka alami. Labu dan Labi menggunakan menggambarkan Haji Bakhil dalam pelbagai bentuk sepanjang mimpi-mimpi mereka. Haji Bakhil sebagai pelayan restoran, Haji Bakhil sebagai Cheeta (Cimpanzi) yang menjadi orang suruhan Tarzan oleh Labu, Haji Bakhil sebagai pekerja di bar dan Haji Bakhil sebagai seorang tua yang lemah di dalam mimpi bahagian akhir mereka. Kita dapat lihat bagaimana Labu dan Labi melepaskan geram terhadap Haji Bakhil dan di dalam setiap mimpi, mereka akan mengambil peluang secukup-cukupnya untuk memaki hamun Haji Bakhil.

"Boy"

"Saya tuan."

"Muka kau macam Haji Bakhil."

"Saya belum jadi haji tuan, lain tahun saya jadi haji."

"Then? Apa nama kau?"

""Bakhil"

"Bakhil? Bakhil bin Kedekut? Macam muka tuan kita ya?"

"Mahu minum apa tuan?"

"Gin and Tonic."

"Baik. Tuan?"

"Iblis Tonic!"

"Iblis Tonic mana ada tuan."

"Give me a Setan and Tonic!"

"Setan lagi tak ada tuan."

"And now bring me Haji Bakhil and Tonic! Get out! Get out!"

"Bodoh!"

"Terlalu bodoh!"

Seperti biasa P.Ramlee juga menyindir sikap golongan feudal atau kaya dengan memaparkan Labu dan Labi bercakap Bahasa Melayu dalam pelat Inggeris, kedua-dua mereka berebut untuk berkahwin dengan peragawati Sarimah dan  berbangga-bangga dengan gelaran yang ada, misalnya Haji Labu dan kemudian bertukar menjadi Robin Labu. Ini ialah sikap-sikap negatif masyarakat kaya yang sering mendapat ruang kritikan di dalam filem-filem P.Ramlee, justeru kritikan yang disampaikan berkeadaan biasa sahaja kerana berbentuk kritikan sebegini sering disampaikan di dalam filem-filem terdahulu, malah ada yang lebih tajam dan pedas berbanding di dalam Labu dan Labi.

Filem ini turut memaparkan kritikan terhadap masyarakat yang gemar menjadikan perkara-perkara berkaitan sihir sebagai jalan terakhir menyelesaikan masalah. Ini dapat dilihat kepada apa yan dilakukan oleh Labu terhadap keluarga Haji Bakhil, walaupun hakikatnya hanya sekadar mimpi Labu semata-mata. Kita dapat lihat bagaimana berkuasanya sihir daripada dukun yang ditemui oleh Labu, sehinggakan doktor yang diupah oleh Haji Bakhil juga tidak mampu merawat penyakit yang menimpa Manisah. Akhirnya sihir ini berjaya dilawan oleh sihir yang digunakan Labi yang memperoleh geliga hikmat daripada pendita yang ditemuinya di dalam gua.

Semasa babak Labi bersanding dengan Manisah (sekali lagi ini hanya mimpi Labu semata-mata) Saloma membuat cameo dan menjadi penyanyi undangan di majlis persandingan berkenaan. Saloma menyanyikan lagu "Singapura Waktu Malam". Lagu ini mengandungi lirik yang menceritakan tentang kemakmuran dan latar belakang Singapura. Di penhujung lagu ini, liriknya adalah lebih bermakna kerana mengaitkan penyatuan Malaysia dan Singapura.

"Singapura maju jaya

Tetap dalam aman dan sentosa

Makin hari tambah kaya

Apabila di dalam Malaysia"

ULASAN & KRITIKAN

Setelah berjaya dengan filem-filem arahannya di MFP, dengan lahirnya filem ini menampakkan kemerosotan P.Ramlee sebagai pengarah filem. Ternyata dengan pengarahannya ini P.Ramlee sudah kekeringan idea. Jika tidak ada lagu (terutamanya Bila Larut Malam) filem ini boleh dikategorikan sebagai yang terburuk pernah diarahkan P.Ramlee. Labu dan Labi bolehlah dianggap sebagai Laurel And Herdy (Si Gemuk dan Si Kurus) yang begitu popular bukan sahaja di Hollywood malah diseluruh dunia termasuk negara kita sendiri.

Walaupun pada zahirnya menampakkan kekeringan ilham dalam menghasilkan filem ini, tetapi pada hakikatnya tidak begitu. Ini disebabkan pada masa itu, keadaan di MFP sudah bercelaru kerana adanya perselisihan antara kesatuan pekerja filem dengan pihak majikan. Oleh kerana sesuatu yang sudah mengikut peraturan (kerja lebih masa tidak boleh. Itu tidak boleh ini tidak boleh. Ini telah diluahkannya dalam "Alii Baba Bujang Lapok") menyebabkan P.Ramlee kehilangan semangat untuk berkarya. Oleh kerana kontraknya dengan MFP masih ada maka terpaksalah P.Ramlee membuat filem mengikut keadaan dan suasana di MFP ketika itu. Hasilnya lahirlah filem iini yang boleh dianggap kemerosotan kreativitinya.

Begitupun juga apa yang dilaksanakan oleh P.Ramlee terhadap filem ini masih boleh mentertawakan. Lakonan P.Ramlee, M. Zain dan Udo Umar (kemudian terkenal sebagai Haji Bakhil). tetapi berjaya membuat penonton ketawa tidak kering gusi. Filem ini diilhamkan P.Ramlee daripada watak Laurel And Hardy (Si Gemuk dan Si Kurus). Perwatakan P.Ramlee bersesuaian dengan Si Gemuk tetapi M.Zain tidak menepati perwatakan Si Kurus. Kalau ditanya pada saya siapa yang layak. Jawab saya: "Mat Sentol".

IRAMA & LAGU

Hanya 2 lagu terdapat dalam flem ini:

  1. Yang Mana Satu Idaman Kalbu (P.Ramlee & Saloma)
  2. Bila Larut Malam (P.Ramlee, Saloma & Pancha Sitara)
          Ciptaan & gubahan: P.Ramlee
          Lirik: S.Sudarmaji
          Muzik iringan: P.Ramlee Orchestra.



FAKTA & ANGKA


  • Filem pertama P.Ramlee berpasangan dengan Mohd Zain (M.Zain)
  • Filem pertama P.Ramlee mengambil Mariani sebagai heroine dalam filem arahannya.
  • Filem ini kali kedua P.Ramlee berpasangan dengan adik beradik sebagai heroine selepas Mariam dan Sa'adiah. Saloma menjadi heroine P.Ramlee dalam "Seniman Bujang Lapok".
  • M.Zain atau nama sebenarnya Mohd Zain Sharif lahir di Pulau Pinang tahun 1921 dan meninggal dunia pada 31 Januari 1967 semasa umurnya 46 tahun.   




Tiada ulasan:

Catat Ulasan