MALAY FILM PRODUCTION LTD.
MEMPERSEMBAHKAN
AZIZ SATTAR S.SHAMSUDDIN P.RAMLEE SENIMAN BUJANG LAPOK (THE NITWIT
MOVIE STAR) SALOMA SHARIFF DOL AHMAD NISFU LENG HUSSAIN KEMAT HASSAN
M.RAFEE BABJAN ZAINON FIJI IBRAHIM HASSAN MOHD ZAIN H.M.BUSRA AHMAD.C
AINI JASMIN JUNE HARTINAH ZAINUDDIN NYONG ISMAIL
PELAKON UNDANGAN: AHMAD MAHMOOD HASHIMAH YON S.KADARISMAN DAYANG SOFIA KUSWADINATA K.FATIMAH MUSTARJO MARIAM SRI RAHAYU
JALAN CERITA: H.M.ROHAIZAD
JALAN BAHASA: ROHAILEE
LAGU: MENCECEH BUJANG LAPOK, GELORA, SENANDUNG KASEH CIPTAAN P.RAMLEE
EMBON MENITIK: CIPTAAN ALLAHYARHAM AHMAD PATEK
GURINDAM: S.SUDARMARJI
ARRAGEMENTS: P.RAMLEE
ORKESTRA: P.RAMLEE ORKESTRA
PENYANYI-PENYANYI: SALOMA P.RAMLEE AZIZ SATTAR S.SHAMSUDDIN DAN PANCHA SITARA
TEKNIK FOTOGRAFI: A.BAKAR.ALI
RAKAMAN SUARA: KAMAL MUSTAFA
EDITING; H.R.NARAYANA
DIRECTOR: MUSTAFA YASSIN
RAKAMAN AKHIR: KAM SHIN BOON
LABORATORIAN: CHOW CHENG KOK
PEMBANTU-PEMBANTU TERAJU: S.SUDARMARJI
KAMERA: YA'AKOB MAHMOOD
RAKAMAN: AHMAD SURADI
EDITING: LEE THIAM YIAK
MUSIC: KASSIM MASDORE
CONTINUITY: KASSIM MASDORE
STUDIO MANAGER: KWEK CHIP JIAN
TERAJU UTAMA: P.RAMLEE
Tahun Diedarkan: 1961 (Julai)
Masa Tayangan: 1 Jam 45 Minit
RINGKASAN CERITA
Tiga
Bujang Lapok (Ramlee, Sudin dan Aziz) menganggur dan ketika sedang
minum di sebuah gerai datang lori promosi filem "Panji Semerang" (dengan
iringan muzik filem "Bridge On The River Kwai") berhampiran gerai
tempat mereka minum. Ketika lori tersebut berhenti kerana tayar meletup
dan pancit Sudin mengambil kesempatan bertanya dengan mereka yang
bertugas di mana boleh mereka bermohon untuk menjadi orang wayang atau
pelakon filem. Sudin diberitahu pergi ke Jalan Ampas. Dengan tidak
berlengah lagi mereka menaiki beca pergi ke Jalan Ampas. Mereka bertiga
hampir putus asa kerana telatah-telatah yang ditunjukkan oleh beberapa
orang petugas di situ dan juga sikap mereka. Bagaimanapun setelah
ditegur oleh Jaga katanya: "Oii.. panggil orang macam tak ada nama."
Barulah mereka bersemangat kembali dan Jaga tersebut mencadangkan mereka
pergi menemui Manager Kemat Hassan.
Pemohonan Ramlee,
Sudin dan Aziz untuk menjadi bintang filem telah dicemuh oleh Ali Fiji
yang kebetulan berada di situ. Katanya: "Ini macam punya muka mahu jadi
'film star', ka...." Tetapi cemuhan tersebut telah dibalas oleh Jaga.
Bidasnya: "Lu pun satu la....., bu orang minta kerja lu macam-macam
cakap. Apa macam lu punya banga mahu maju." Manager Kemat Hassan
mengarahkan Pengarah Ahmad Nisfu jalankan 'screen test' terhadap mereka
bertiga yang pada ketika itu sedang mengarahkan satu adegan lakonan
S.Kadarisman dan Hashimah Yon. Dan disebabkan tidak tahu peraturan
penggambaran filem keadaan semasa penggambaran menjadi kecoh apabila
Sudin bertindak memarahkan S.Kadarisman kerana mahu memancung Hashimah
Yon kerana makanan yang mahu dimakannya tidak ditaruh belacan. Perbuatan
Sudin dan juga Aiz yang masuk campur kemudian membuatkan Pengarah Ahmad
Nisfu naik marah dan menghalau mereka keluar. Bagaimanapun Ahmad C.
memberitahu Pengarah Ahmad Nisfu mereka datang untuk menjalankan 'screen
test' atas arahan Manager Kemat Hassan.
Sungguhpun,
'screen test' dijalankan boleh membuatkan Pengarah Ahmad Nisfu jadi gila
lain yang disuruh lain yang dibuat. Namun mereka berjaya menambat hati
Manager Kemat Hassan dan dengan itu jadilah mereka anak wayang dan
digelar "Seniman Bujang Lapok". Sementara itu, di rumah tempat mereka
menyewa Ramlee sedang berkasih-kasihan dengan Salmah yang bekerja
sebagai jururawat yang juga dicintai oleh Shariff Dol yang seringkali
mengusiknya. Dalam pada itu, mereka sering terganggu ketika menghafal
skrip. Ada penyewa beristeri dua tidak bertimbang rasa dengan membuka
radio kuat-kuat dan kemudian bergaduh pula dengan isteri pertamanya. Aa
pula penyewa menghidupkan enjin motorsikalnya dengan bunyi yang
membisingkan suasana. Ada pula penyewa berlatih meniup trompet dengan
kuat hingga memekakkan jiran-jiran sebelah yang mana semuanya itu
terpaksa diselesaikan oleh Ramlee, Sudin dan Aziz dengan cara baik
mahupun kekerasan.
Ketika membuat penggambaran filem
"Bujang Lapok Dalam Negeri Baghdad" Ramlee, Sudin dan Aziz terus datang
membuatkan Pengarah Ahmad Nisfu naik berang kerana membuat macam-macam
kesalahan hingga menyebabkan dia diserang sakit jantung hingga terpaksa
dirawat di hospital. Wajah Ramlee, Sudin dan Aziz sangat-sangat
menghantuinya hinggakan ketika mereka datang ke hospital melawatnya
(bila terpandang saja wajah mereka) Pengarah Ahmad Nisfu pengsan semula.
Apabila pulang ke rumah didapati oleh mereka Salmah bersedih yang
menyebabkan Ramlee runsing. Rupa-rupanya kesedihan itu disebabkan ada
orang datang meminangnya untuk samseng Kampung Dusun - Shariff Dol yang
selama ini sering mengganggu Salmah. Kerana marahkan Ramlee membuat
pertemuan dengan Salmah, Shariff memberi amaran kepada Ramlee katanya:
"Aku akan pecahkan muka kau." Cabar mencabar berlaku yang mana akhirnya
mereka bergaduh yang mana Ramlee tewas dan jatuh pengsan. Selepas itu,
Shariff dan ibunya datang meminang Salmah dan telah dipersetujui ibu
Salmah.
Ramlee masih mahu berusaha merebut Salmah
daripada tangan Shariff Dol tetapi dia perlukan 200 ringgit untuk tujuan
tersebut. Untuk menolong Ramlee, Sudin (dengan menggunakan batu akik
yang yang kononnya hikmat) pergi bertemu dengan Manager Kemat Hassan
untuk meminjam wang. bagaimana pun setelah bertemu dengan manager
tersebut Sudin hanya memperoleh 5 ringgit sahaja. Salmah terus-terang
menyatakan kepada ibunya dia tidak mahu berkahwin dengan Shariff yang
dianggap oleh ibunya orang kaya. Setelah Salmah menerangkan keadaan
sebenar yang Shariff selama ini sering mengacaunya, ibu salmah marah
lalu dia memulangkan gambar dan wang yang diterimanya sebagai tanda
putus tunang. Shariff marah dan memberi amaran katanya: "Jangan
menyesal" Kemudian Ramlee dan Salmah merancang untuk berkahwin dengan
menggunakan wang 800 ringgit kepunyaan Salmah untuk masuk meminang.
Tetapi malangnya, apabila Ramlee dan Salmah pulang mereka dapati rumah
sewa tempat mereka menginap terbakar dan menurut Salmah pembakaran
tersebut dilakukan oleh Shariff yang marah kerana Salmah memutuskan
pertunangan dengannya.
Ketika Ramlee sedang
mengenangkan nasib badannya, dia terjumpa dompet kepunyaan Shariff
lantas Ramlee pergi ke Kampung Dusun bertemu Shariff untuk membuat
perhitungan. Di rumahnya, Shariff Samseng sedang berjudi dan mengaku
membakar rumah sewa mereka tetapi dia tidak takut kerana tidak ada bukti
untuk membawanya ke balai polis. Pergaduhan antara Ramlee dan Shariff
berlaku dan oleh kerana tidak tahan dengan penangan Ramlee di samping
menunjukkan dompetnya yang tercicir akhirnya Shariff Dol rela dirinya
diserahkan kepada polis. Ramlee dan Salmah dapat juga berkahwin kerana
wang Salmah tidak menjadi korban api disebabkan sebelum kejadian berlaku
ibu Salmah telah memasukkannya ke dalam pejabat pos. Bagi Aziz dia
tidak kecewa kerana mata airnya - Dayang Sofia, datang memanggilnya
manakala Sudin pula didatangi tunangnya - Zaiton. Ayu (adik Zaiton)
tetap dengan perangai lamanya membuat tuntutan 20 sen daripada Sudin
sebagai menutup rahsia.
PENGAJARAN
Seniman
Bujang Lapok (1961) terhasil selepas beberapa tahun Tanah Melayu
mencapai kemerdekaan pada 1957. Terdapat dua perkara yang cuba
ditonjolkan dalam babak pembukaan filem ini. Pertama, syot sulung untuk
filem ialah patung Stamford Raffles yang boleh ditafsirkan sebagai
mewakili perjajahan kuasa asing dan seterusnya beberapa syot
poster-poster gergasi di pawagam-pawagam utama di Singapura yang
memaparkan filem-filem asing. Ini menunjukkan bahawa walaupun negara
sudah merdeka, tapi pemikiran asing tetap wujud dan mempengaruhi
masyarakat.
Keduanya
ialah filem-filem asing mendapat tempat dan promosi utama di
pawagam-pawagam besar. Sedangkan pula filem-filem tempatan terpaksa
melakukan promosi secara kendiri dengan membawakan filem mereka
menggunakan kereta buruk yang tayarnya pancit. Lebih menarik, Panji
Semerang (juga dikeluarkan pada 1961) merupakan filem terbitan Shaw
Brothers tetapi terpaksa dipromosikan dengan cara seolah-olah ia sebuah
wayang pacak. Walhal filem-filem asing (di dalam babak berkenaan
dipaparkan poster gergasi filem The Great Imposter dan Cimarron)
mendapat tempat utama di pawagam-pawagam milik Shaw Brothers.
P.Ramlee
telah menyindir Shaw Brothers secara terbuka tanpa disedari. Jelas
sekali babak pembukaan filem ini memberikan gambaran penuh mengenai apa
yang mahu ditonjolkan P.Ramlee di dalam Seniman Bujang Lapok. Filem
sinikal tentang nasib industri filem Melayu yang dikawal kuasa asing dan
dijadikan medan mengaut untung yang menindas pekerja-pekerja filem. Hal
tentang sindiran terhadap nasib filem Melayu ini turut disentuh oleh
Amir Muhammad dalam bukunya 120 Malay Movies (Matahari Books, Julai
2010).
Selain
daripada menyindir Shaw Brothers, babak pembukaan ini juga merupakan
satu sindiran kepada penonton filem Melayu. Ini kerana semasa kereta
yang melakukan kerja-kerja promosi filem Panji Semerang melalui kawasan
bandar, tidak ada penduduk bandar yang tertarik dengan kereta dan
promosi berkenaan. Tetapi apabila kereta berkenaan memasuki kawasan
kampung, kelibatan penduduk kampung memberikan sambutan hangat kepada
promosi filem berkenaan. P.Ramlee menonjolkan di sini bahawa masyarakat
bandar lebih gemar memberi perhatian kepada filem-filem Barat, manakala
filem-filem tempatan mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat
di kampung. Filem tempatan boleh meletup di kampung seperti meletup
dengan kuatnya tayar kereta yang membuat promosi filem Panji Semerang
itu.
Cukup
tajam persoalan yang dibangkitkan Sudin apabila dia tidak menyedari yan
lori pancit tayar itu sedang melakukan kerja-kerja promosi sebuah filem
Melayu.
Di
dalam Seniman Bujang Lapok, beberapa kali P.Ramlee merujuk kepada
golongan asing yang mengawal industri filem Melayu. Khususnya tentang
pengaruh Shaw Brothers. Misalnya, ketika babak Salmah cuba menghulurkan
wang kepada Ramlee, Ramlee menolaknya.
Babak
Ramlee, Aziz, dan Sudin menaiki beca dan dikenakan caj 30 sen juga
sebenarnya menyindir Shaw Brothers. Pada sekitar tahun 1960an sudah
wujud krisis dan pergeseran di antara tenaga kerja di Shaw Brothers
termasuk para pelakon dan krew dengan pihak pengurusan studio.
Pergeseran ini terjadi akibat masalah pembayaran gaji yang disifatkan
oleh tenaga kerja sebagai tidak mencukupi dan rendah, berbanding dengan
jumlah filem yang perlu mereka hasilkan. Dialog menunjukkan yang
mengikut perjanjian, Bujang Lapok perlu membayar kepada tukang beca
sebanyak 30 sen tetapi mereka hanya membayar sebanyak 25 sen dan tidak
sepadan dengan kepayahan tukang beca mengayuh. Ini sama dengan situasi
menindasan pengurusan studio yang dirasakan oleh tenaga kerja di studio.
Dialog yang paling mencengkam ialah apabila tukang beca menyebut
terpaksa membikin union (kesatuan sekerja) jika ada ramai lagi pelanggan
seperti ini (yang tidak mahu membayar tambang secukupnya). Ini
menggambarkan bahawa tenaga kerja di studio akan melakukan protes jika
penindasan (soal pembayaran gaji) masih berlaku.
Penindasan
terhadap pekerja filem dipaparkan di dalam dua babak. Pertama semasa
Manager Kemat Hassan memarahi pekerja melalui telefon untuk membawa
pulang lori yang pancit tayar.
"Hello. Ha? Okay. Kau bawa balik lori tu sekarang juga! Ya sekarang juga! Kalau lori tu tak boleh jalan, kau pikullah!"
Kedua apabila Manager Kemat Hassan memarahi pekerja juga melalui telefon kerana pekerja berkenaan tidak datang kerja.
"Hey!
kau ini apa ha? Kau nak keja ka nak main-main? Semalam kau bilang kau
sakit gigi, ini hari kau bilang kau sakit perut. Jangan-jangan esok kau
sakit nak mampus pula!"
"Apa boleh buat tuan, saya demam. Bukannya saya panggil itu demam tuan ya."
"Haa! Kau ini memang ada-ada sahajalah. Kepala otak kau berjambul!"
(ketukan pintu)
"Masuk!"
"Tuan, telefon ini kecil, macam mana saya nak masuk tuan."
"Hey!
Aku bukan cakap dengan kaulah. Takkan aku nak suruh kau masuk dalam
telefon ini. Kau ingat aku nak mampus macam kau ke? Bodoh! Jikalau esok
kau tak datang kerja, aku sack sama kau!"
Lebih
memberikan nilai ialah Bujang Lapok hanya masuk ke pejabat Manager Kemat
Hassan sebanyak dua kali sahaja di dalam filem ini dan kedua-duanya
dimulakan dengan babak Manager Kemat Hassan memarahi pekerja studio
melalui telefon.
Semasa Ramlee, Aziz dan Sudin sampai
di Malay Film Poduction (studio milik Shaw Brothes) untuk mencuba nasib
menjadi pelakon filem, ketiga-tiga mereka ternampak satu tajuk filem
yang dipapakan pada papan kenyataan di luar pagar studio. Tajuk filem
itu ialah 'Yatim Tua dan Setan Angkat Dulang'. Dipercayai P.Ramlee
menyindir filem-filem keluaran syarikat pesaing Shaw Brothers waktu itu
iaitu Cathay Keris. Pada tahun 1961, Cathay Keris juga mengeluarkan dua
filem iaitu Yatim Mustapha (diarahkan oleh BN Rao) dan Sultan Mahmud
Mangkat Dijulang diarahkan oleh KM Basker).
Babak
kemudiannya pula kita diperlihatkan bahawa pengarah yang mengarangkan
filem 'Yatim Tua dan Setan Angkat Dulang' ini ialah Director Ahmad
Nisfu. Pemilihan Ahmad Nisfu juga mempunyai kaitan dan sindiran. Wajah
Ahmad Nisfu yang kelihatan iras seorang asal India adalah parodi kepada
pengarah kedua-dua filem Cathay Keris tadi yang juga berasal dari India.
Simbolik pengaruh India dalam filem-filem Melayu dipaparkan P.Ramlee
dengan cukup bersahaja dan sinikal.
Turut dipaparkan
P.Ramlee ialah campur tangan pengurusan di dalam soal kreativiti dan
pemilihan pelakon oleh seseorang pengarah. Misalnya semasa screen test
yang dilakukan terhadap Ramlee, Aziz dan Sudin, ternyata ketiga-tiga
mereka tidak menepati kriteria yang dimahukan oleh Director Ahmad Nisfu.
Namun mereka tetap diterima sebagai pelakon kerana Manager Kemat Hassan
mahukan mereka.
Sindiran turut dilemparkan P.Ramlee
terhadap gaya penceritaan filem-filem Melayu pada ketika itu yang
kadangkala berlebih-lebihan dan menyuntik emosi yang tidak sepadan serta
memiliki tema yang terlalu remeh. Ini dapat dilihat apabila Sudin
menyuarakan rasa tidak puas hati disebabkan watak S.Kadarisman mahu
memancung isterinya hanya kerana memasak sayur asam yang tidak dicampur
belacan. Sikap pelakon juga ditonjolkan P.Ramlee di dalam filem ini
misalnya watak Aziz semasa screen test dipaparkan sebagai seorang
pelakon yang memiliki ciri-ciri over acting dan memilih. Ini dapat
dilihat apabila dia mengubah dialog asal kepada satu peringkat yang
tidak diperlukan dan sebelum itu dia memohon untuk diberikan hanya
menjalani screen test sahaja. Watak Ramlee dan Sudin ketika screen test
juga menunjukkan pelakon yang tidak tahu berlakon.
P.Ramlee
dan sindiran terhadap golongan feudal sememangnya tidak dapat
dipisahkan. Di dalam setiap filem arahan beliau, pasti akan ada babak
yang menyentuh soal ini. Seniman Bujang Lapok juga tidak terkecuali.
"Hey Ramlee! Siapa kau?"
"Aku King!"
"King apa?"
"King Kong!"
"Hey Ramlee!"
"Ya"
"Kau tahu aku siapa?"
"Belum tau! Siapa kau?"
"Akulah keturunan Raja!"
"Raja mana?"
"Raja Kapur!"
"Hai Raja Kapur!"
"Ya!"
"Kenapa muka kau macam tepung gomak?"
"Hey apa dah gomak?"
Satu
lagi babak yang menyentuh mengenai golongan ini boleh dikesan semasa
Bujang Lapok sudah diterima sebagai pelakon dan melakonkan filem pertama
mereka.
"Betapa senang beta punya hati, betalah yang digelarkan Setan Aminurrashid!"
"Cut! Bukan setan, syaitan. Sultan?"
Babak
Doktor lakonan Ahmad Mahmud dalam Seniman Bujang Lapok yang merawat
Direktor Ahmad Nisfu, ialah satu babak transisi penting dalam filem ini.
Sebaik sahaja Direktor pengsan selepas melihat Bujang Lapok membawa
bunga, Doktor terus marah kepada Bujang Lapok dan mengatakan mereka
sebagai muka pembawa penyakit (sumpahan). Ini sebenarnya satu gambaran
P.Ramlee terhadap bomoh dalam masyarakat Melayu. Bomoh bukan sahaja
boleh mengubati, tetapi boleh memberikan sumpahan. Ternyata selepas
disumpah, sebaik sahaja pulang dari klinik, Bujang Lapok malang sampai
ke hujung Sharif Dol masuk meminang Salmah, Ramlee dipukul Sharif Dol,
Sudin ditipu penjual batu yang kononnya hikmat dan malang paling besar
bagi Bujang Lapok ialah apabila rumah yang mereka alami terbakar.
Seperkara
lagi yang menarik selepas Seniman Bujang Lapok, P.Ramlee membikin Ibu
Mertuaku (1962) dan seolah-olah dalam Seniman Bujang Lapok, P.Ramlee
sudah memberikan gambaran awal yang Ahmad Mahmud akan memegang watak
yang sama dalam Ibu Mertuaku, seorang doktor yang sombong dan memiliki
kuasa mengubat dan memusnah.
Selain daripada
unsur-unsur berkaitan industri perfileman Melayu, terdapat beberapa isu
yang disentuh secara sepintas oleh P.Ramlee di dalam filem ini. Misalnya
sikap berhutang dalam kalangan masyarakat. Ramlee, Aziz dan Sudin minum
kopi di sebuah warung yang diberi nama Kedai Kita. Mentang-mentang
kedai bernama Kedai Kita, lantas Ramlee,Aziz dan Sudin menjadikan kedai
itu seperti milik mereka apabila beredar tanpa membayar harga kopi yang
diminum. Namun, Wak yang menjaga warung berkenaan meminta mereka
membayar harga kopi berkenaan.
"Nah, Wak, lain kali bila kita orang minum dekat sini, janganlah minta duit. Kira sahaja tak boleh!"
(Ketawa) "Kira sahaja ya? Ini kedai kopi kau ingat bapa kau ada kongsi dengan aku ya?"
Begitu
juga dengan sikap Ramlee yang mahu berkahwin tetapi tidak ada wang.
Sudin yang cuba membantu dengan meminjam daripada Manager Kemat Hassan
tetapi gagal dan akhirnya Ramlee berkahwin dengan wang yang diberi
pinjam oleh Salmah. Satu lagi perkara lucu yang ditonjolksn P. Ramlee
mengenai masyarakat di dalam filem ini ialah paranoid yang muncul
khususnya dalam kalangan orang Melayu terhadap babi. Ini dilihatkan di
dalam babak semasa Ramlee sedang mengintip Salmah dan ditegur jirannya.
"Apa tu Encik Ramlee"
"Ish!
Melekat dekat lampu pula. Alamak! Haa! Diam. Diam. Diam. Diam. Hmm. Ini
kau ya!" (sambil menampar pipi jiran yang menegurnya)
"Apa itu Encik Ramlee?"
"Kutu Babi!"
"Kutu Babi? Allah! Batal air sembahyang saya."
Satu
lagi perkara menarik di dalam filem ini ialah teguran yang dibuat
P.Ramlee mengenai sikap masyarakat yang tidak berbudi bahasa. Ini
ditonjolkan menerusi babak Sudin bertanya kepada seorang pengawal
keselamatan, Mr singh mengenai cara-cara memohon pekerjaan di studio
filem berkenaan.
"Hoi! Sini wayang gambar pusing ke?
Ha? Oh! Lu pun tersampuk ka? Eh! Sudahlah mari kita balikla, sini dia
orang semua banyak anginlah"
"Ini nama sahaja orang
Melayu, bikin adat pun tak tahu. Orang punya dekat panggil hoi! Hoi!
Hoi! Saya ini apa? Batu ke? Kayu ke?"
"Alamak Benggali itu bahasakan kita."
"Memang betul dia cakap. Kau itu mana ada bahasa, panggil orang hoi. Hoi! Hoi! Bahsa menunjukkan bangsa tau."
Selain
budi bahasa, masalah berdengki, khususnya sesama bangsa juga
dipaparkan. Ini apabila selesai Bujang Lapok masuk ke dalam kawasan
studio, muncul seorang lelaki bertanyakan kepada Mr.Singh mengenai
Bujang Lapok.
"Singh, itu tiga orang apa dia mahu?"
"Dia mahu minta kerjalah"
"Ini macam muka mahu jadi film star ka?"
"Lu pun satulah!Baru orang mau minta kerja, lu macam-macam cakap. Apa macam lu punya bangsa mau maju?"
"Alamak Singh, lu bahasa sama gua nampaknya ni Singh!"
"Bukan bahasa, lu punya nasib lu makan, dia punya nasib dia makan, apa salah lu makan sama-sama."
P.Ramlee
juga mengemukakan sindiran terhadap golongan yang sering menggunakan
alasan agama untuk menutup dan melindungi kepentingan diri sendiri. Ini
dapat dikesan pada babak semasa Bujang Lapok cuba menenangkan pergaduhan
suami isteri.
"Allah! sumpah Tina. Perempuan ini bukan aku simpan, bini aku nombor dua Tina. Bukan orang lain, madu kau juga Tina."
"Oh.
Bini kau nombor dua ya? Kalau dulu aku tak mahu kahwin dengan kau nak
bunuh diri. Sekarang dalam diam dah buat kira ya. Jantan tak guna! Nak
mampus! Sepatutnya kau ditembak dengan senapang gajah."
"Allah!
Sabar Tina. Sabar. Kita orang Islam. Menurut undang-undang Islam boleh
kahwin sampai empat sayang. Ini baru dua, lagi dua nampak akan datang
Tina. Entah next change ka, entah coming soon ka."
"Oh! Pasal nak berbini, ikut undang-undang Islam ya? Pasal sembahyang, puasa kenapa tak mahu ikut undang-undang Islam? Ha?"
P.Ramlee
sering mengaitkan setiap babak-babak di dalam filemnya dengan baik dan
ini menampakkan satu jalinan yang kemas dan menarik. Misalnya sebelum
Bujang Lapok masuk ke pejabat Manager Kemat Hassan, Manager berkenaan
pada ketika itu sedang memarahi pekerjanya untuk membawa lori yang
pancit tayar pulang ke studio dan kita ketahui lebih awal bahawa Bujang
Lapok menjadi saksi kepada insiden tayar pancit itu. Selepas telefon
diletakkan, Bujang Lapok pun masuk ke berjumpa Manager Kemat Hassan.
Sebenarnya
ialah semasa insiden jiran-jiran Bujang Lapok yang bising di
tengah-tengah malam. Pertamanya selepas Bujang Lapok menyelesaikan
masalah pergaduhan suami isteri, kelihatan watak seorang lelaki berbadan
besar, lakonan H.M.Busra memasuki bilik Fatimah, watak isteri kedua
dalam pergaduhan tadi. H.M.Busra mengakui dia tersalah bilik. Selepas
babak itu, jalan cerita beralih ke babak lelaki yang membuat bising
menggunakan motorsikalnya. Selepas itu kita kembali ke babak H.M.Busra
bermain trompet dan membuat bising sehingga dikerjakan oleh Bujang
Lapok. Usai mengerjakan H.M.Busra, Aziz menegur lelaki motorsikal tadi
yang sedang berusaha gigh menurunkan motorsikalnya menggunakan galah. Di
situ P.Ramlee menjalinkan babak berkenaan secara berselang-seli.
Walaupun ditonjolkan H.M.Busra dahulu, tetapi babak seterusnya bukan
melibatkan beliau, tetapi terus kepada babak lelaki motorsikal
berkenaan, dan selepas lelaki motorsikal, kembali ke lelaki berbadan
besar dan penutupnya kembali ke lelaki motorsikal.
Begitu
juga dengan dua babak berikut ini. Pertama menunjukkan Aziz cuba
memikat seorang gadis di dalam bas yang kemudian kita ketahui melalui
apa yang Aziz ceritakan, gadis tersebut merupakan seorang bisu. Kedua
pula Ramlee terbaring dan termenung memikirkan tiada wang untuk
berkahwin. Kemudian bila mereka tidur, berlau pula dua insiden. Pertama,
polis datang mencari isteri Pak Mat Tempe untuk memaklumkan Pak Mat
Tempe ada di hospital kerana terlibat dalam kemalangan, namun isteri Pak
Mat Tempe seorang yang pekak dan ini menyebabkan Sudin terpaksa
bercakap kuat dengannya. Ini ada kaitan dengan babak Aziz di dalam bas.
Kedua pula pergaduhan sepasang suami isteri India hanya gara-gara tahi
anak kecil yang terkena ke muka si suami. Ini pula ada kaitan dengan
babak Ramlee terbaring dan termenung.
P.Ramlee berjaya
mengikat empat babak ini sebagai satu kaitan. Pertama memberikan
petanda akibat kepada Aziz yang sebelum ini memikat seorang gadis bisu
dan kedua memberikan petanda akibat kepada Ramlee yang terlalu ingin
berkahwin.
Seterusnya kita dapat melihat babak semasa
Sudin membuang batu yang kononnya hikmat itu ke longkang dan syot ketika
itu menunjukkan batu itu dibuang dan selepas itu, babak berikutnya
memaparkan Sharif Dol juga dibuang kerana pertunangannya dengan Salmah
telah diputuskan. Seniman Bujang Lapok juga ialah filem tentang nilai
wang, 30 sen untuk tiga cawan kopi, 30 sen untuk berpuluh-puluh akhbar
lama, 40 sen untuk beberapa botol kosong, 10 riggit untuk batu hikmat,
30 sen untuk menggunakan beca, 1 riggit untuk menggunakan teksi, 20
riggit untuk belanja anak-beranak dan 200 riggit untuk berkahwin.
ULASAN & KRITIKAN
Kejayaan "Bujang Lapok", "Pendekar Bujang Lapok" dan "Ali Baba Bujang
Lapok" yang bukan sahaja merupakan komedi yang menghiburkan tetapi juga
memberi pendapatan (kewangan) yang agak lumayan kepada MFP. Dengan itu,
P.Ramlee terus diberi 'green light' untuk menyambung siri komedinya itu.
Cerita filem ini dihasilkan oleh H.M.Rohaizad dengan dialog oleh
RohaiLee (H.M.Rohaizad dan P.Ramlee), mengisahkan tiga bujang lapok
(Ramlee, Aziz dan Sudin) terlibat pula dengan dunia perfileman. Biasanya
setiap filem P.Ramlee mengandungi sindiran dan tauladan. Oleh itu,
filem ini tidak lari dan ke situ juga tujuannya. Banyak perkara
ditonjolkan dalam filem ini yang bukan sahaja dalam masyarakat dunia
filem, filem Melayu khususnya tetapi juga manusia yang duduk di rumah
sewa yang mempunyai berbagai ragam dan kerenah.
Dari
segi persembahan, filem ini tetap melucukan. Peranan pelakon-pelakonnya
juga tidak mengecewakan. Ramlee, Aziz dan Sudin ketika berada di tempat
shooting ketika Ahmad Nisfu mengarah dengan bintang undangannya Hashimah
Yon dan S.Kadarisman dibuat dengan begitu lucu sekali.
Peristiwa-peristiwa di rumah sewa di mana Mohd Rafee terkejut apabila
motorsikalnya terbang ke atas bumbung, dan ketika H.M.Busra diikat oleh
Ramlee, Aziz dan Sudin kerana memekakkan telinga dengan tiupan
trumpetnya juga sangat melucukan. Pendek kata, setiap adegan yang
dikemukakan oleh P.Ramlee pasti membuat kita sebagai penonton terketawa
kerana kelucuannya. Pada keseluruhan, filem ini merupakan sebuah filem
komedi yang baik di samping mengandungi lagu-lagu yang menghiburkan
terutama Gelora.
IRAMA & LAGU
- Menceceh Bujang Lapok (P.Ramlee, Aziz Sattar, S.Shamsuddin & Pancha Sitara)
- Gelora (P.Ramlee & Saloma)
- Senandung Kaseh (P.Ramlee & Saloma)
- Embon Menitik (Saloma) Ciptaan & Gubahan: (Embon Menitik ciptaan
Ahmad Patek) P.Ramlee. Lirik: S.Sudarmarji Muzik Iringan: P.Ramlee
Orkestra
- Menceceh Bujang Lapok diilhamkan P.Ramlee daripada lagu begitu
popular nyanyian Harry Belafonte, The Banana Boat Song (Day-0). Malah
perkataan 'menceceh' terdapat juga dalam lirik lagu nyanyian Harry
Belafonte itu.
FAKTA & ANGKA
- Filem pertama Saloma diambil berlakon sebagai heroine. Sebelumnya
Saloma hanya menyanyikan lagu-lagu yang terdapat dalam filem arahan
P.Ramlee seperti "Penarek Becha", "Semerah Padi", "Panca Delima" dan
"Sumpah Orang Minyak".
- Nama Saloma yang sebenar Salmah Ismail tetapi ditukar kepada Saloma
berdasarkan peranan Rita Hayworth (Salome) dalam filem "Salome" (1953)
yang turut dibintangi Steward Granger. Ada juga yang kata berdasarkan
"Salome, When She Dance" (1951) lakonan Yvonne De Carlo.
- Filem keempat dan terakhir yang mengisahkan kehidupan Bujang Lapok
yang diperanankan oleh P.Ramlee, Aziz Sattar dan S.Shamsuddin.
Sebelumnya "Bujang Lapok", "Pendekar Bujang Lapok" dan "Ali Baba Bujang
Lapok".
- P.Ramlee ingin menyambungnya di MFS tetapi kerana menghadapi
berbagai masalah (terutama mendatangkan Aziz Sattar dan S.Shamsuddin ke
Kuala Lumpur) terpaksalah P.Ramlee mengambil A.R.Tompel dan Ibrahim Din
sebagai pasangannya dalam siri komedi baru - "Do Re Mi".
- P.Ramlee juga merancang meneruskan siri Bujang Lapoknya ini dalam
bidang luas (ShawScope) dan berwarnawarni bertajuk "Bujang Lapok Ke Hong
Kong" sekiranya beliau menjdi pengarah filem di studio Shaw Brothers
Hong Kong.
- Filem pertama P.Ramlee mengambil Ahmad Mahmood berlakon berperanan sebagai doktor.
- Filem ini telah dihantar ke Festival Filem Asia Pasifik Ke-9 di
Korea Selatan (1962) bersama "Lubalang Daik" yang diarahkan Jamil
Sulong. Bagaimanapun gagal mencapai sebarang kemenangan. Tajuk asal
filem ini "Bujang Lapok Jadi Bintang".
- Adegan shooting di mana S.Kadarisman mahu memancung Hashimah Yon dan
kemudian diganggu oleh Sudin dan Aziz diilhamkan P.Ramlee dari filem
Charlie Chaplin - "A Film Of Johnnie".
- Menurut Aziz Sattar, pemilihan Saloma sebagai Salmah dalam filem ini
diluar jangkaan. Ini kerana Rose Yatimah dan Siti Hawa Majid telah
lulus 'screen test'. Oleh kerana Rose Yatimah sudah membintangi
"Pendekar Bujang Lapok", tentulah Siti Hawa Majid memegang karekter
tersebut. Bagaimanapun, tiba-tiba saja Saloma menjadi pilihan P.Ramlee.
Siti Hawa Majid juga telah di 'screen test' untuk "Sumpah Orang Minyak"
tetapi gagal. Hingga sekarang Siti Hawa Majid tidak pernah berlakon
filem (ada karekter), begitu pun juga dia berjaya dalam bidang
penyiaran.