Selasa, 27 Ogos 2019

Bapaku P.Ramlee Bab 11 Timbul Rasa Bosan Dan Kecewa

TIMBUL RASA BOSAN DAN KECEWA


Hari demi hari saya mula berasa bosan, dan saya menganggap seolah-olah ibu tiri saya cuba bertindak sebagai ibu tiri yang sebenar kerana dia mungkin merasakan yang saya adalah anak tiri yang tidak harus diberi muka atau dimanja. Hati saya bertambah gundah, sesekali terasa juga ingin menceritakan perkara ini kepada bapa, tetapi rasa takut menebal di hati. Di saat-saat akhir sebelum ibu tiri bercerai dengan bapa saya, barulah saya sedar yang perbuatan ibu tiri saya itu bukanlah satu penyeksaan, tetapi itu adalah melatih disiplin diri. Mungkin kerana dia sudah terlatih dan biasa dengan keadaan hidupnya bersama Tuanku Raja Perak.  Jadi tidak patutlah saya merasa tertekan ataupun teraniaya, kerana dengan cara disiplin yang dilatihnya itu, maka kami sekurang-kurangnya menjadi anak yang taat dan berdisiplin. Ini adalah satu pengajaran yang baik yang belum pernah saya lalui sebelumnya. Tetapi segala yang indah nampaknya tidak berkekalan. Inilah lumrah alam dan kehendak Allah, tiada siapa yang dapat menentang kalau takdir sudah menentukannya.


SUMBER:  Allahyarham Nasir P.Ramlee  

Bapaku P.Ramlee Bab 10 Keseronokan Di Hari Minggu

KESERONOKAN DI HARI MINGGU


Satu perkara yang paling saya gemari ialah pada hari minggu, kerana pada hari itulah kami semua akan berkumpul sekeluarga, dan dibenarkan membuat aduan apa sahaja kepada bapa saya mengenai ibu tiri saya. Pernah saya memberitahu kepada bapa tentang sikap ibu tiri saya yang terlalu garang, tetapi bapa hanya memandang ke arah saya dengan tersenyum," Senyum ada makna tu cik." Bapa saya hanya memberitahu kepada ibu tiri saya, You boleh pukul, asalkan jangan berberkas sudah, kalau dia orang ini tak dengar cakap you, bantai saja!" Kdang-kadang bapa saya juga naik angin. Apabila angin dia datang, dia akan memarahi ibu tiri saya. Akibatnya apabila keesokan harinya, sayalah yang akan menerima padahnya, saya akan dibelasah Noorizan, kerana saya mengadu kepada bapa saya.

Satu lagi perkara yang tidak dapat saya lupakan mengenai hari minggu ialah, kedatangan seorang benggali yang berlakon di dalam banyak filem arahan bapa, seperti Pendekar Bujang Lapok (orang yang dihumban ke dalam laut) dan di dalam filem Seniman Bujang Lapok (yang menjadi jaga di pintu masuk studio). Dia datang setiap hari minggu untuk mengurut badan bapa. Saya sangat gembira apabila Mr Singh datang, kerana dia selalu membawa buah tangan, buah-buahan dan kadang-kadang coklat. Mr Singh ini kemudiannya menjadi antara teman rapat bapa. Di antara dialog yang pernah diucapkan dalam filem-filem bapa saya yang tidak dapat saya lupakan ialah "Apa kita batukah, kayukah, sikit hormat pun tak ada, panggil orang "Oi! Oi!" dan, "Lu nasib lu makan, Dia nasib dia makan, apa salah makan sama-sama."

Ada juga kadang-kadang Pak Cik Kassim Masdor datang menulis nota muzik bersama bapa saya, dan bila ada kesempatan saya bertanya-tanya secara rambang tentang nota muzik daripada Pak Cik Kassim Masdor. Dan jika tidak ada apa-apa kerja lain, kami akan keluar menonton wayang gambar di panggung Sky ataupun Rex. Hari minggu juga biasanya saya dan bapa akan menimbang berat badan kami. Kadang-kadang tukang jahit bapa saya bernama Mr Kwong Hung Meng akan datang ke rumah. Kedainya terletak di Tanjung Katong Road berhadapan Sekolah Perempuan Tanjung Katong. mr Kwong akan membawa berbagai-bagai jenis kain untuk baju dan seluar. Dia akan mengambil ukuran badan bapa saya. Kain-kain yang dibawanya adalah dari jenis kain yang terbaru. Saya juga pernah diberi peluang oleh ibu tiri, ketika "moodnya" baik, untuk menempah baju dan seluar.

Mr.Kwong ini memang "business minded" orangnya, kerana dia tahu populariti dan kehebatan bapa saya. Dia tahu orang Melayu dan bukan Melayu meminati P.Ramlee. Kerana itulah dia mengambil kesempatan menggunakan gambar bapa saya yang berpakaian satu sut untuk dipamerkan di dalam cermin di hadapan kedainya. Dia juga turut mencetak gambar itu di luar "bag" (bag cover) untuk kedai jahitnya. Bapa saya tidak dibayar apa-apa. Dia rela membenarkan Mr Kwong menggunakan gambarnya. Begitu juga dengan syarikat rokok "Lucky Strike". Pihak pengedar hanya memberi sekatun dua secara percuma, kerana bapa saya sentiasa mengisap rokok kegemarannya (Lucky Strike) sama ada di luar atau di dalam filem arahannya. Saya percaya kalau semuanya ini berlaku pada hari ini, tentu bapa saya akan menjadi kaya dengan wang iklan atau "Advertisment Fees" tapi apakan daya "lain hulu, lain parang, lain dahulu, lain pula sekarang".


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 9 Hidup Baru Bersama Bapa Dan Ibu Tiri Di Singapura

HIDUP BARU BERSAMA BAPA DAN IBU TIRI DI SINGAPURA


Setelah saya dibawa pulang ke Singapura, dan setelah peristiwa bersama ibu di studio Jalan Ampas berlalu, kami tinggal di sebuah rumah kepunyaan Shaw Brothers di Yarrow Garden berdekatan dengan Jalan Singlap. Ketika itu hidup kami agak istimewa, kerana ibu tiri saya Noorizan adalah seorang yang kuat disiplinnya. Ini mungkin kerana beliau sudah terlatih ketika di dalam istana. Kami dimanja, tetapi manja yang bertempat. Bapa saya dilayan seperti seorang raja. Hidupnya diberi perhatian secukupnya, mungkin inilah pertama kali bapa saya merasakan kebahagiaan sebenar hidup sebagai suami isteri.

Saya masih ingat sebuah kereta Holden yang dipandu oleh orang tua bernama Wak Kimin. Kalau tak salah saya Wak Kimin adalah bapa mertua pelakon veteran Omar Suwita. Wak Kimin setiap pagi akan menghantar bapa saya ke studio, dan jika bapa tidak membuat pemggambaran di sebelah malam, maka Wak Kimin akan membawanya pulang. Boleh dikatakan waktu bekerja untuk bapa sentiasa terjaga dan ibu tiri saya tidak akan membiarkan bapa saya bersembang-sembang kosong di studio. Kadang-kadang saya dapat merasakan apa yang bapa rasakan. Dia mungkin merasakan seoalah-olah terkongkong. Sebenarnya itu adalah satu disiplin yang baik, kerana ibu tiri saya meletakkan bapa saya setaraf dengan kemasyhuran namanya.

Saya adalah anak kandung P.Ramlee, dan saya tidak mempunyai adik beradik, walaupun ada cerita mengatakan yang saya ada seorang abang atau adik (saya tak pasti) yang berada bersama ibu di Jakarta. Bapa sendiri tidak pernah menceritakan perkara ini semua kepada saya. Saya beranggapan, kalau sekiranya perkara itu benar tentu perkara ini akan diketahui sebelum bapa saya meninggal dunia. Walau bagaimanapun, hanya Allah sahajalah yang maha mengetahui. Kami tinggal sekeluarga dengan aman dan ceria, kami ditemani oleh seorang pembantu rumah yang berasal dari Terengganu, kami memanggilnya dengan panggilan "Ngah". Beliaulah yang menjaga kami, menolong memasak, pergi pasar dan mengemas rumah.   

Satu perkara yang tidak menyeronokkan saya di rumah itu ialah saya dilayan seperti seolah-olah hidup di dalam istana. Semuanya mengikut peraturan dan undang-undang (sepertimana dalam filem bapa saya Tiga Abdul). Pertama kali saya tidak boleh berbuat sesuka hati, semuanya mesti meminta izin dripada ibu tiri Noorizan. Setelah pulang dari sekolah saya dan adik-adik tidak dibenarkan keluar berkeliaran di jalan raya. Saya dan adik-beradik yang lain juga tidak dibenarkan menganggu bapa ketika makan, semasa dia membaca surat khabar, dan lebih-lebih lagi ketika dia sedang berehat dengan isterinya. Apabila sampai waktu makan, saya ditugaskan menyusun garpu dan sudu di atas meja. Setelah selesai, saya dan yang lain akan duduk di bilik sehingga bapa dan ibu tiri saya selesai makan barulah kami dipanggil keluar untuk makan.

Setiap hari minggu, kerja saya akan bertambah, semua pokok-pokok bunga yang ditanam harus disiram, dan najis-najis kucing juga terpaksa saya membersihkannya. Perhiasan rumah terutama yang diperbuat daripada tembaga, akan disuruh gosok atau gilap sehingga berkilat. Setelah semua kerja-kerja telah beres, maka barulah saya diajak oleh Noorizan mengikutnya ke pasar. Sekembali dari pasar, ada lagi kerja yang akan saya buat. Jika dibeli taugeh dan petai, maka tugas sayalah yang memetik taugeh dan mengupek petai. Begitulah kerja-kerja rutin atau kerja seharian yang diberikan kepada saya. 

Saya mempunyai lima pasang baju sekolah (uniform), lima pasang seluar, lima pasang stokin dan lima pasang kasut sekolah. Saya pun tidak tahu mengapa saya mempunyai hanya lima pasang bagi setiap item itu. Semua pakaian itu saya sendiri yang akan membasuh dan menggosoknya, walau pun kami mempunyai orang gaji. Selepas pulang dari sekolah, saya akan makan tengahari, kemudian berehat sebentar dan terus tidur. Saya akan dikejutkan tepat jam empat petang, untuk minum petang da kemudian saya dibenarkan ke padang untuk bermain sebentar bersama kawan-kawan di sekeliling.

Kira-kira jam lima petang, harus pulang ke rumah untuk menyiram pokok bunga. Selepas maghrib seorang ustaz akan datang mengajar kami mengaji, dan sebelah malam pula saya terpaksa mengulang kaji pelajaran sekolah. Tepat jam sembilam malam kami harus masuk tidur dan lampu bilik pun dipadamkan. Begitulah kehidupan saya seharian bersama ibu tiri saya Noorizan.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee   

Bapaku P.Ramlee Bab 8 Ibuku Junaidah Membawa Peguam Ke Jalan Ampas

IBUKU JUNAIDAH MEMBAWA PEGUAM KE JALAN AMPAS


Pada suatu hari di sebelah tengah hari, bapa pulang dari studio. Pada kali ini kepulangannya agak ganjil. Kebetulan nenek dan saya berada di Singapura. Bapa berdiam diri dan nampak air mukanya kelihatan muram. Memang ada sesuatu yang difikirkannya. Nenek terus bertanya kerana ingin tahu apakah yang menyebabkan ayah kelihatan runsing. Dengan tegas bapa menjawab,"Jun berada di studio bersama seorang peguam untuk mengambil Nasir," Nenek berdiam diri dan turut bersimpati dengan bapa. Pak Cik saya Sheikh Ali dan ibu tiri saya juga diam penuh simpati. Saya hanya menangis, kerana tidak mahu berpisah dengan ayah dan ibu tiri saya. Saya bertambah takut kerana saya tidak begitu mesra dan rapat dengan ibu kandung saya Junaidah. Keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana perpisahan antara ibu dan bapa terjadi semasa saya terlalu kecil dan langsung tidak berkesempatan mengenali ibu. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kalau saya dibawa ke Indonesia. Saya tidak mempunyai sesiapa di sana dan tentu sekali suasananya agak berlainan. Hati saya semakin sedih bercampur takut. Saya memeluk nenek saya, dan nenek cuba mententeramkan saya, sambil memeluk saya, sempat dia memujuk agar jangan takut dan jangan menangis, semuanya adalah takdir, katanya.

Ayah saya berdiri di hadapan ibunya dan berkata," Kalau ini semua adalah takdir, maka dengan rela hati Ram lepaskan Nasir, Ram tidak akan melawan takdir," Walaupun ketika itu saya masih kecil, tetapi saya masih ingat dan terbayang suasana sedih bercampur takut. Akhirnya saya dibawa oleh ayah ke Jalan Amoas. Dengan menaiki keretanya yang dipandunya sendiri, kami terus ke studio. Di dalam kereta bapa bertanya saya,"Kalau orang itu tanya, Nasir nak ikut Jun atau bapa, Nasir nak jawap apa?" Saya jawab,"Tak tahu, tapi saya tak mahu ikut Jun." Bapa tersenyum puas. Apabila kereta sampai di persimpangan Jalan Ampas di Balestier Road, bapa memberhentikan keretanya. Kami keluar dan bapa memimpin tangan saya membawa ke studio Jalan Ampas. Kata-kata bapa itu diulang berkali-kali sehingga sampai di sebuah kedai kopi berhadapan dengan studio No 8, (Mungkin kedai kopi Lam atau kedai kopi Siput saya tak ingat).

Setibanya di kedai itu, ayah terus masuk ke pintu studio. Saya ditinggalkan di kedai kopi itu. Dengan tidak disangka-sangka rupanya ibu saya Junaidah memang sudah menanti kedatangan saya. Dengan pantas dia memeluk dan terus menangis, sambil dia memperkenalkan dirinya dengan berkata, "Ini emak, emak kandung kau sendiri Junaidah. Emak sangat rindu pada kau," Hati saya tidak dapat menerima keadaan itu, kerana saya tidak pernah berpeluang, mengenali dan mendampinginya.

Saya lihat seorang berbangsa India ada bersama, dan saya diajukan soalan yang sama dengan apa yang ayah sebutkan sebelumnya. Saya tetap dengan jawapan yang saya berikan kepada ayah. Saya tidak mahu mengikut ibu. Setelah berkali-kali dipujuk ibu dan peguam India itu, saya tetap dengan pendirian saya. Akhirnya mereka gagal untuk mendapatkan persetujuan saya. Ramai yang menyaksikan kejadian itu.

Akhirnya saya meminta diri untuk pergi bertemu ayah di dalam studio. Ibu dan peguam serta beberapa orang di studio hanya memandang ke arah saya. Airmata ibu kelihatan berlinang dan dia tidak dapat menahan sebak hatinya. Saya dibawa oleh seorang Benggali penjaga studio menuju ke bilik ayah. Dia sedang menanti kedatangan saya. Bermula dari saat itulah, ibu saya Junaidah tidak lagi datang untuk bertemu atau mahu mengambil saya, dan saya berasa lega dapat hidup seperti biasa dan kembali ke Pulau Pinang. Tidak lama selepas itu, saya berpindah balik ke Singapura dan hidup bersama ayah dan ibu tiri saya. Saya sedikitpun tidak merasa kesal atau terkilan, kerana usia saya masih muda dan belum kenal erti hidup sebenarnya.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 7 Ibu Dan Bapa Saya Kahwin Lagi

IBU DAN BAPA SAYA KAHWIN LAGI


Apa yang saya ketahui, ibu saya telah pun berkahwin dengan seorang yang juga berkecimpung di dalam industri muzik dan filem. Suaminya yang baru itu bernama Harris seorang pengarah dan pencipta lagu. Kalau tidak silap satu daripada lagu ciptaannya ialah "Kudaku Lari" sementara ayah saya pula setelah sekian lama membujang, akhirnya berkahwin dengan seorang bekas kerabat diraja Perak ibu Noorizan. Setelah berpindah semula ke Singapura, saya tinggal bersama bapa dan ibu tiri saya, Noorizan.

Ketika saya berusia enam tahun, barulah saya sedar dan mengerti dengan hakikat bahawa ayah saya adalah seorang artis besar yang diminati ramai. Saya mula merasa beruntung dan bertuah kerana menjadi anak tunggal P.Ramlee.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 6 Peristiwa Di Stesen Keretapi

PERISTIWA DI STESEN KERETAPI


Kami sampai di stesen keretapi Tanjung Pagar pada waktu malam. Alangkah terkejutnya kami apabila kami dapati ibu saya Junaidah sudah lebih dahulu sampai ke situ. Ayah saya semakin panik, dan saya terpaksa disembunyikan. 

Akhirnya dengan tidak membuang masa, pak cik saya Sheikh Ali menyembunyikan saya di bahagian tempat meletak beg. Tempat ini hampir menyentuh bumbung keretapi. Saya terdengar suara pertengkaran antara ibu dan bapa. Ibu saya tergesa-gesa menaiki keretapi yang belum bertolak itu, mencari saya.

Agak lama juga ibu mencari-cari saya tetapi tidak bertemu. Saya berasa semakin takut. Akhirnya isyarat berbunyi menandakan keretapi akan bertolak. Dari saat itulah saya terpisah dengan ibu kandung saya. Setelah saya dewasa, saya dapat tahu yang ibu pernah berjanji akan berusaha dan tidak akan berputus asa untuk mencari saya. Akhirnya saya tinggal di Pulau Pinang bersama nenek saya (Cik Mah) dan Pak Cik Sheikh Ali. Saya tidak lama tinggal di Pulau Pinang, dan boleh dikatakan setiap bulan nenek, Pak Cik dan saya ke Singapura menemui bapa. Ibu saya sudah terpisah jauh membawa diri ke Jakarta. Kelakuan saya semasa bersekolah di Pulau Pinang tidaklah begitu baik. Saya gagal dalam peperiksaan. Nenek saya bertambah khuatir. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menghantar saya pulang ke Singapura.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 5 Saya Diculik

SAYA DICULIK


Sebagaimana yang diketahui umum, bapa saya telah terpikat dengan seorang gadis berketurunan Arab. Saya hanya mengetahuinya melalui cerita dari kawan-kawan bapa saya. Namanya Hamidah, dan saya sendiri tidak mengambil tahu tentang kisah cintanya dengan Hamidah dan tidak pernah sekalipun menemui Hamidah.

Setelah beberapa bulan perceraian berlaku di antara bapa dan ibu, akhirnya pada suatu waktu ibu saya datang dari Jakarta ke Boon Teck Road untut menuntut saya dari bapa. Dia hendak membawa saya pulang bersamanya ke Jakarta, atas alasan anak lelaki adalah menjadi hak kepada ibu kandung.

Ketika itu bapa saya bertambah gelisah dan kebingungan. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya, mujurlah dengan pertolongan sahabatnya Pak Cik Salleh Kamil, maka bapa saya terus mengirim telegram ke Pulau Pinang meminta abang tirinya Pak Shek (Nama sebenarnya Sheikh Ali) supaya datang ke Singapura. Keesokan harinya Pak Cik saya Sheikh Ali tiba dari Pulau Pinang. Kedatangannya memang dinantikan oleh bapa saya. Dia merasa lega sedikit. Setelah mereka berbincang akhirnya, dengan secara senyap-senyap dan tidak diketahui oleh sesiapa, kecuali Pak Cik Salleh Kamil, mereka membuat keputusan menculik saya untuk terus dibawa ke Pulau Pinang. Entah bagaimana ibu saya mendapat tahu mengenai perkara itu dan keadaan menjadi semakin cemas dan runcing.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee